Bismillah..
Suatu petang di ‘food court’ sebuah pusat membeli belah yang terletak di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur, sedang asyik aku meneguk teh o’ ais tiba-tiba pandangan aku tertarik pada sekumpulan budak (berdekatan dengan meja kami) yang dalam tekaan aku mereka berusia dalam lingkungan 12 tahun (seusia dengan adik aku) jika dilihat dari susuk tubuh mereka yang genit. Gaya tak ubah seperti orang dewasa dan paling mengejutkan mereka adalah perokok. Ya Allah, umur baru setahun jagung, membesar pun dengan duit mak ayah, berani mereka merokok dan melepak di kedai-kedai makan seperti orang dewasa? Bagaimanakah perasaan mak ayah jika melihat anak semuda itu berkelakuan sedemikian rupa?
Tak cukup dengan itu, semasa kami berjalan keluar dari food court tersebut, dari jauh kelihatan sekumpulan anak muda yang menuju ke arah food court tersebut (berlawanan arah dari kami). Dalam kesesakan manusia tiba-tiba kelihatan seorang budak perempuan daripada sekumpulan anak muda tadi sedang terhuyung hayang (mabuk)sehingga memerlukan kawannya untuk memimpinnya berjalan. Oleh kerana merasa tidak enak dengan situasi tersebut,kami pun memilih jalan keluar yang lain. Pelik jadinya aku. Food court yang dulunya menjadi tumpuan seisi keluarga yang penat membeli belah serta para pekerja untuk menjamu selera, seolah-olah telah bertukar kepada ‘pub’ dan tempat-tempat yang tidak baik.
Gejala sosial semakin hari semakin teruk. Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan semakin tidak terkawal malahan mereka seakan-akan tidak berasa segan silu berpelakuan tidak sopan di khalayak ramai. Adakah telah hilang perasaan malu lalu hilang pertimbangan sehingga sanggup mencemarkan maruah diri dan keluarga? Islam semakin jauh daripada kehidupan walhal sepatutnya Islam itu harus jalan seiring dengan kehidupan dalam mencari keredhaanNya agar selamat di dunia dan akhirat.
Sedih aku melihat fenomena seperti itu dan aku sempat panjatkan doa ke hadrat Illahi semoga adik-adik aku dan keluargaku terpelihara daripada masalah akhlak dan akidah. Aku juga berharap agar mereka ini sedar bahawa perkara yang mereka lakukan itu adalah salah malah boleh membawa padah.
Namun doa sahaja tidak cukup untuk menangani masalah ini tetapi semua pihak harus mengembeling tenaga bagi membenteras gejala ini daripada berleluasa. Bermula daripada komuniti kecil (keluarga) kemudian berkembang kepada yang lebih besar (masyarakat). Jika masing-masing mengambil sikap prihatin, InsyaAllah jika tidak keseluruhan mungkin sedikit saja perbaikannya sudah membanggakan. Jangan semuanya hanya pandai bercakap dan berpolitik di sana sini sedangkan ‘virus’ yang menyerang rakyat , adik-adik dan anak-anak terus merebak mencari mangsa. Semoga fenomena ini akan teratasi agar negara terus melahirkan pelapis yang cemerlang dan beriman, duniawi wa ukhrawi. InsyaAllah.
Allahu’alam.
0 kritikan:
Post a Comment