Thursday, August 19, 2010

Puasa Anggota? 0 kritikan

Thursday, August 19, 2010 |


Assalamualaikum Warahmatullahi Wa Barakatuh.

Apa khabar kalian? Mudah-mudahan sihat wal afiat, iman dan tubuh badan. Amin.

Salam Ramadhan Kareem. Alhamdulillah, lapan hari dah kita menjalani ibadah puasa dalam bulan Ramadhan ni. Mudah- mudahan Ramadhan kali ini menjadi platform yang lebih baik untuk kita meningkatkan momentum kecemerlangan diri menjadi hamba sebenar- benar hamba di dunia dan akhirat, InsyaAllah.

Sedikit perkongsian daripada saya sempena bulan Ramadhan ini. Mudah-mudahan bermanfaat, InsyaAllah.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Pada suatu petang ketika hampir masuk waktu untuk berbuka puasa.

Mata: Assalamualaikum.

Hati: Wa'alaikumussalam. Eh, mata jemputlah masuk.

Mata: Takpela. Aku singgah sekejap je ni. Hati, tahu tak sepanjang hari ni aku banyak sangat melihat pemandangan yang cantik- cantik. Semasa sangkut dalam kesesakan lalu-lintas tadi aku lemparkan pandangan ke sekeliling. Langit membiru, pepohonan yang menghijau dan burung- burung berterbangan yang sungguh mendamaikan. Subhanallah, besarnya tanda Keagungan Allah SWT. Tengah aku memuji- muji kebesaran Pencipta, tiba- tiba lalu seorang awek ni. Dah la cun, seksi pula tu. Orang kata rezeki jangan ditolak. Kau nak tengok tak? Nah, kau ambillah. Aku kena balik dulu ni sebab tak lama lagi dah nak masuk waktu berbuka. Assalamualaikum.

Hati: Terima kasih mata. Wa'alaikumussalam.

Selang beberapa minit

Mulut: Assalamualaikum. Hati, oooh hati. Yuuuuu~

Hati: Wa'alaikumussalam. Oo mulut, ingatkan sapa tadi. Jemputlah masuk.

Mulut: Eh takpe- takpe. Saya sekejap je ni. Tu kat rumah tak sempat hidang apa- apa pun lagi untuk berbuka nanti. Sepanjang hari ni saya ada buat tadarus al- Quran, dzikir dan teguran baik buat anak- anak saya. Oh lupa, gosip panas pasal jiran atas kita si Mata tu pun ada. Saya dapat hasil mesyuarat bersama pemegang- pemegang saham Kelab Mengumpat Antarabangsa. Nah, semua ada dalam ni. Awak ambillah. Saya nak balik dulu ni. Assalamualaikum.

Hati: Err, terima kasih. Wa'alaikumussalam.

Sejurus kemudian. Tok!Tok! Terdengar ketukan pada daun pintu.

Telinga: Assalamualaikum, jiran bawah.

Hati: Wa'alaikumussalam. Oo telinga. Mai la masuk.

Telinga: Eh, takpa la. Dapuq ceq duk berasap tu. Terbakaq satgi, naya ceq. Ni, ceq ada bawakan hang rakaman ceramah agama yang ceq dengaq kat radio siang tadi. Rakaman lagu yang lentok- liuk pun ada. Hai, tangkap leleh ceq habaq kat hang! Kalau hang dengaq mesti hang duk ingat kat marka hang tu. Takpa, hang dengaq la dulu na. Ceq balik dulu, Assalamualaikum.

Hati: Terima kasih telinga. Wa'alaikumussalam.

Lima minit kemudian.

Tangan: Assalamualaikum.

Hati: Wa'alaikumussalam. Eh tange, masuk lah. Demo maghi dari mano ni?

Tangan: Trimo kaseh, hati. Ha, ini yang ambo nok royak maghi ke demo ni. Demo tahu ko dok, sepanje haghi ni, ambo g umoh anok- anok yatim, umoh ore- ore tuo, umoh ore- ore susoh. Syok Ooo!

Hati: Demo wat gapo g sano?

Tangan: Alhamdulillah. Taun ni rezeki ambo muroh sikit. Jadi, ambo ingat nok bagi- bagi la sore- sore sikit. Gini la kito weh saling membantu. Apo oghe tuo- tuo kato? Berbahagi kasih saye. Sebelum kelik tadi, ambo singgah meta kat masjid depe tuh bayar zakat fitroh skaliea ambo masuk dermo dale tabung masjid. Tapi ambo gere sungguh ke sekor anok kucing dale masjid tu. Ado ko patut dio kecing atas bare- bare ambo? Ambo gere, ambo terus puko kucing tu. Mapuh g la dio. Mujur la cik abe ambo ado. Dio usap- usap tange ambo ni, pujuk- pujuk ambo baru la ambo raso tene sikit. Adei, ambo lambat doh ni. Ambo nok bagi bare- bare ni untuk ore dekat- dekat sini pulok. Ambo kelik dulu deh. Ha, ni ambo bui sumo kat demo. Demo ambik lah. Assalamualaikum.

Hati: Trimo kasih. Jale molek- molek lah. Wa'alaikumussalam.

Tidak lama kemudian.

Kaki: Assalamuaikum, sahabat.

Hati: Wa'alaikumussalam. Oo kaki. Jemputlah masuk.

Kaki: La baksa. Ana singgah sekejap saja ni. Alhamdulillah, sepanjang bulan Ramadhan ni, ana bersyukur sangat kerana punya kudrat untuk menunaikan ibadah. Sebelum bulan Ramadhan, ana sentiasa solat fardhu secara berjemaah di masjid dan dalam bulan Ramadhan ni belum pernah sekalipun ana terlepas daripada solat sunat terawih di masjid. Lepas solat terawih, ana p minum bersama sahabat- sahabat ana di gerai simpang jalan tu. Lepas tu kami p rumah sahabat yang paling dekat dan berkumpul untuk bermain dota. Fuh, lagi ramai lagi meriah! Hati, apa kata malam ni anta ikut ana? Anta ni, terperuk je dalam rumah bukan ada apa. Mari la ikut ana. Ajak teman rumah anta yang ulat buku tu sekali. Ke anta tak suka bersahabat dengan ana?

Hati: La ballah. Erm, tengok la dulu, kaki.

Kaki: Lah, apa yang tengok- tengok pula? Hati, sekali sekala kita perlu berhibur juga, bergaul mencari teman. Bukannya duduk terperuk macam katak bawah tempurung ja. Erm takpela. Ana kena balik dulu. Nak masuk waktu berbuka ni. Nanti ana nak solat jemaah di masjid pula. Assalamualaikum.

Hati: Wa'alaikumussalam.

Hati duduk membatukan diri di meja makan sambil memerhatikan pemberian daripada jiran-jirannya sebentar tadi. Hati mula dirundum rasa gelisah. Dia tak pasti perlukah dia menerima kesemua pemberian tersebut. Dia melihat ke arah jam di dinding dan kemudian memandang pula ke arah pintu. Lagaknya seperti menunggu seseorang. Tak lama kemudian terdengar suara seseorang memberi salam.

Akal: Wah banyaknya juadah berbuka hari ni. Sempat pula kau siapkan semua ni.

Hati: Bukan aku yang buat tapi tu semua jiran-jiran kita yang bagi. Mula-mula mata datang bawa gambar- gambar cantik ni, kemudian mulut, telinga, tangan dan kaki pula baru je balik tadi.

Akal: Ooo begitu. Habis tu kenapa muka kau ni macam ayam berak kapur je aku tengok? Kalau ye pun lapar, sabar la sikit. Tak sampai 20 minit je lagi nak berbuka puasa. Bukankah puasa itu mampu memupuk kesabaran dalam diri di samping melahirkan rasa syukur kepada Allah swt atas segala nikmat kurniaan-Nya selama kita menghuni dunia serba pinjaman ini? Kita baru diuji rasa lapar tak sampai sehari dah mengeluh. Di luar sana masih ramai yang hidup kelaparan, kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang sepanjang hayat mereka.

Hati: Ni bukan sebab lapar la akal. InsyaALlah, aku masih mampu mengawal nafsu yang kadang- kadang menggoda diri di sebalik kenikmatan dan kelazatan juadah yang beraneka di bulan puasa ni. Aku cuma bingung memikirkan semua pemberian ni. Aku tak tahu patut ke aku terima semua ni? Ha! Kau kan `filter' yang berteknologi tinggi. Cuba kau tengok- tengokkan, apa saja yang aku boleh terima dan tak.

Akal: Pandailah kau nak bodek. Habis kau tu apa pula? Mitsubishi berkuasa kuda?

Hati: Aku ni `asistant' kau je. Dalam bab- bab macamni kadang- kadang aku tak boleh menilai dengan baik. Aku bimbang kalau terlalu diturutkan kehendak diri. Jika aku bertindak dengan emosi, kau pula bertindak dengan rasional. Jadi, aku perlukan seorang yang pakar macam kau untuk bantu aku dalam masalah seperti ini. Tolonglah, Akal.

Akal: Pandailah kau nak bodek aku. Meh sini aku tengok.

Akal meneliti satu persatu pemberian yang ditunjukkan oleh Hati. Kadang- kadang dia tersenyum lebar dan ada ketika keningnya berkerut seribu tanpa mengeluarkan sepatah kata. Hati hanya memerhatikan gelagat teman serumahnya itu dengan rasa ingin tahu.

Akal: Ermm. Ada yang boleh kau terima dan ada juga yang harus kau tolak. Haish budak- budak ni, bulan- bulan puasa pun nak buat perangai. Seharusnya dalam bulan mulia ni, nasfu dikekang sehabis-habisnya. Puasa itu bukan sahaja menahan diri daripada lapar dan dahaga dan perkara- perkara yang membatalkannya tetapi lebih daripada itu. Bulan- bulan puasa inilah digunakan sebaik mungkin untuk memuhasabah diri dan menyesali segala dosa- dosa lampau dengan memohon keampunan kepada Allah SWT.

Hati: Tapi kan Akal, macammana kau tahu?

Akal: Kau juga yang cakap aku `filter' berteknologi tinggi kan? Takda la aku bergurau ja. Kembali kepada fitrah kita, wahai hati. Segala sesuatu yang bertentangan tak perlu kita terima. Segala benda, perkara dan perbuatan di dunia ini akan sentiasa mendatangi kita sama ada baik atau buruk. Namun, sesuai dengan kelebihan yang ada pada diri, kita harus membuat pertimbangan dengan bijak agar tidak memilih pemberian yang salah. Kita ada dua sumber yang akan membantu kita dalam membezakan antara yang haq dan yang batil dan Rasulullah SAW menjanjikan bahawa kita tidak akan selamanya sesat sekiranya kita berpegang kepada dua bekalan berharga ini iaitu Al-Quran dan As- Sunnah.

Hati: Kau takpa la Akal, sebagai kau memang bijak. Aku ni apa tiada apa. Kaulah sumber rujukan aku bila dalam keadaan terdesak begini.

Akal: Kau silap Hati. Kau juga sebenarnya mampu membuat pertimbangan. Jangan lupa, kau punya pandangan mata hati yang mampu menembusi hijab sehingga kau mampu merasakan sesuatu yang benar- benar baik dan buruk. Cuma, kau perlu sentiasa memelihara diri kau agar tidak dicemari kabus dosa sehingga mata hati kau menjadi kelam ditutupi hina. Setelah itu, tiada lagi kedengaran bisikan kebaikan yang mampu menuntun diri kau membuat pilihan yang tepat.

"Bahwa dalam diri setiap manusia terdapat segumpal daging, apabila ia baik maka baik pula seluruh tubuhnya, dan apabila ia itu rusak maka rusak pula seluruh tubuhnya. Gumpalan daging itu adalah hati." [HR Imam Al-Bukhari]

Hati: Apa yang harus aku buat?

Akal: Jangan sombong! Mahu amalkan yang menyenangkan diri sahaja tapi yang sebaliknya diabaikan. Hiduplah selayaknya sebagai seorang hamba dan bukan sebagai seorang tuan. Merendah diri di hadapan Allah SWT dan patuh atas setiap perintah-Nya serta menjauhi segala larangan-Nya. Ingat, kepatuhan kita hanya kepada Pencipta kita, iaitu Allah Yang Satu. Jangan kita tunduk kepada hawa nafsu dan bisikan syaitan yang sentiasa ingin menyesatkan. Jangan jadikan kekurangan pada diri kita sebagai alasan untuk membiarkan diri kita terus selesa dalam zon kejahilan sedangkan ruang untuk memperbaiki diri dan membina kejayaan sentiasa terbuka luas untuk kita. Ingatlah, kehidupan kita ini merupakan sebuah amanah besar daripada Allah SWT buat kita hamba-Nya. Segalanya akan dihitung dan ditimbal di sana tanpa ada yang terkecuali. Itu pasti! Gagal dan berjayanya kita menjadi hamba yang sebenar-benar hamba di sisi Pencipta terletak pada diri kita sendiri. Usah bertangguh untuk melakukan perubahan kerana ajal dan maut itu bukan percaturan kita. Jika dipanggil sebelum sempat kita bertindak, maka kita menjadi golongan yang rugi.

Hati: Harap- harap aku boleh jadi `filter' berteknologi tinggi terbaik dari ladang macam kau. Kau doakan aku ya. Eh dah masuk waktu untuk berbuka puasa. Akal, cepat baca doa.

Akal: Aku lagi? Yela. Oh, jangan lupa berpesan- pesan juga kepada jiran-jiran kita yang lain tu ya? Terutama sekali jiran- jiran terdekat kita yang tersayang tu. InsyaALlah, dengan izin-Nya siapa tahu kita boleh masuk syurga berjemaah tanpa ada yang tersangkut di hari pengadilan nanti. Sempena bulan Ramadhan yang mulia ini, jadikan permulaan awal untuk menggilap iman sehingga cahayanya sentiasa terang setiap masa walaupun bukan hanya dalam bulan Ramadhan.

Hati: InsyaALlah. "Sampaikanlah olehmu walaupun sepotong ayat". Jom makan! Selamat berbuka puasa dalam keberkatan Allah SWT! Amin.

Allahu'alam.


read more

Friday, June 11, 2010

[Puisi] Tangisan 10 Jun 0 kritikan

Friday, June 11, 2010 |

Pagi ini tidak seperti hari-hari biasa,
Mata yang celik ingin kupejamkan kembali,
Kalau saja aku bisa,
Ingin kulewati hari tak indah ini.

Namun apalah kudratku?
Aku hanya hamba yang hina,
Walau pahit bagai hempedu,
Aku harus akui jika ini suratan-Nya.

Pagi yang cerah tak mampu menerangi hatiku yang suram,
Telatah anak itu tak mampu menghiburkan jiwaku yang kosong
Kicauau burung itu juga tak mampu meriuhkan hatiku yang sunyi,
Sungguh pagi ini begitu asing bagi diriku!

Sedang mereka khusyuk mendengarkan pengajian,
Aku pula sibuk sendirian melayan perasaan,
Membiarkan fikiranku terbang diawang- awangan,
Mencari punca segala kegelisahan.

Selamanya takkan ku lupa hari bersejarah itu,
Peristiwa yang telah membawa dirimu pergi buat selamanya,
Tangisan dan rintihan ini takkan mampu mengembalikan dirimu,
Kerna segalanya sudah tertulis di luh mahfuz sana.

Walaupun berat hati ini ingin melepaskanmu,
Namun ku harus redha dengan Ketentuan-Nya,
Ku yakin kau pasti sedang berbahagia di sana,
Tersenyum melihat dunia dari jendela syurga.

Walau wajahmu yang sentiasa tenang tak lagi kelihatan,
Walau senyumanmu yang membahagiakan tak lagi terukir indah,
Walau keramahanmu tak lagi menceriakan suasana,
Namun, semangat dan nasihatmu sentiasa menjadi tarbiyah.

Tenanglah dikau bersama Kekasihmu di sana,
Akan ku teruskan perjuangan dan cita- citamu di sini,
Menuai bakti di ladang dunia,
Mengharapkan hasil di gerbang akhirat yang hakiki.

Aku nekad untuk terus berhadapan hakikat ini,
Engkau yang telah pergi takkan kembali lagi,
Entah esok, lusa atau mungkin sebentar lagi,
Sampai utusan, seruan ALlah menjemput diri.

Pada-Mu Ya ALlah ku mohon kekuatan diri,
Redhakan hatiku atas Ketentuan ini,
Jadikan perpisahan kami sebuah perpisahan yang sementara,
Pertemukanlah kami semula di akhirat sana.

Ku hadiahkan puasa sunatku hari ini untukmu,
Ku sedekahkan Al- Fatihah ini untukmu,
Akan ku hadiahkan juga bacaan yaasin dan tahlil buatmu,
Kerna inilah permintaan terakhir yang kau tinggalkan buatku.

Doa dan kalam suci Tuhan setia menjadi hadiah buatmu,
Juga sebagai tanda ingatan tulusku padamu,
Takkan pernah jemu aku untuk mengingatimu,
Kerna kau insan cukup istimewa dihatiku.


Al-Fatihah…



read more

Saturday, February 6, 2010

:. The Zikr : Wahai Para Mujahid 0 kritikan

Saturday, February 6, 2010 |
Wahai para mujahid maralah ke hadapan
Kerahkanlah tenagamu dan jua fikiran
Korbankanlah harta sekalipun jiwa raga
Teguhkan keyakinan teruskanlah perjuangan

Wahai para mujahid janganlah terpengaruh
Ujian nikmat hidup duniawi
Biarpun ianya begitu indah
Namun hanya sementara

Memang berjuang itu terkorban
Kerana kita berjuang untuk berkorban
Itulah asam garam perjuangan
Syarat mendapat cinta Allah

Wahai para pejuang kebenaran
Suburkanlah semangat juangmu

Setiap masa sepanjang hayatmu
Dengan irama hiburan ini

Tempuhilah penderitaan
Di dalam perjuangan
Kerana itu adalah penghapus dosamu
Berjuang kerana Ilahi
Walaupun sedikit tetap kan dinilai
Sebagai amalanmu yang soleh

Semangat!

read more

Tuesday, February 2, 2010

:. Semangat! .: 0 kritikan

Tuesday, February 2, 2010 |
Assalamualaikum Warahmatullah..

AMARAN: ENTRY INI SEKADAR KARUTAN V('0')V

Hari ni sudah masuk hari keempat saya berhadapan dengan peperiksaan akhir blok untuk blok yang terakhir dalam semester lima ini. Tadi baru selesai exam Patologi Anatomi. Susah KOWT !! (Apa yang mudah dalam hidup ini tanpa usaha?) Takpa- takpa, dah usaha yang termampu, selebihnya tinggal doa dan bertawakkal kepada Allah swt. Kalau ada rezeki, InsyaAllah tidak ke mana. Apa yang penting jangan cepat putus asa tetapi terus mendaki sehingga ke puncak! Semangat! InsyaAllah..

Sepanjang minggu exam ni, normal jika melihat diri sendiri dan orang sekeliling menjadi 'abnormal' buat sementara..Hee~Pelbagai cara dilakukan untuk mengatasi 'stress' ketika mengulangkaji pelajaran dan unik- unik belaka. Terpulang kepada diri sendiri, asalkan tidak melampaui batas sebagai seorang yang beragama Islam sudahlah~

Kebetulan sekarang kami berada dalam blok Neurology and Behaviour Science dan kami mendapat pendedahan mengenai stress dan pengendaliannya dalam kehidupan seharian. Setiap manusia itu tidak akan terlepas daripada tekanan hidup sama ada yang positif atau negatif cuma yang membezakan seseorang itu adalah tindakan yang dilakukan untuk mengatasi stress tersebut sehingga tidak membawa kemudaratan kepadanya. Tahukah anda, ketidakstabilan emosi boleh membawa kepada tekanan perasaan yang berlebihan sehingga membawa kepada gangguan jiwa seperti depression, halusination, n etc.

Banyak cara yang boleh dilakukan untuk mengembalikan kekuatan dan semangat dalam diri. Islam juga mendidik umatnya agar berusaha mendapatkan ketenangan hati dan kelapangan jiwa. Antaranya adalah dengan sentiasa mengingati Allah swt. Bagaimana kita nak ingat pada Allah swt? Banyak caranya! Contohnya semasa minggu peperiksaan begini yang dilanda dengan kesibukan sehingga terkadang kita mengabaikan keperluan jasmani dan rohani kita. Jika jasmani kita lapar, perut akan berbunyi meminta untuk diisi.

Tapi kalau rohani kita lapar? Kadang- kadang kita pun tidak sedar sedangkan dia merintih- rintih minta disuap dengan 'makanannya'. Walau sibuk bagaimana sekalipun, janganlah diabaikan kewajiban kita sebagai umat Islam, hamba kepada Pencipta kita. Malah semasa emosi tidak stabil inilah kita ambil peluang dengan memperbaiki amal ibadah kita kepada-Nya. Namun, jika terlalu sibuk dan tak mampu melakukan ibadah sunat, cukuplah dengan mengerjakan solat lima waktu dengan khusyuk seperti yang diwajibkan ke atas seiap umat Islam dan berdoa kepada-Nya agar diberikan Kekuatan dan Dipermudahkan dalam segala urusan (Aminn) . Segala yang berlaku adalah atas Izin-Nya.

Kesuntukan masa dalam mengulangkaji pelajaran bukan alasan untuk kita mengabaikan amanah kepada-Nya di samping memelihara ketenangan hati dan membina kekuatan dalam diri kita. Jangan lupa, rohani kita juga perlu diberikan santapannya tambah- tambah pada waktu kritikal begini pasti memerlukan 'supplement' tambahan untuk memaksimalkan ketahanannya. Tidak dapat lama, sebentar pun jadilah ^_^


Walaupun sekarang bukan musim raya apatah lagi bulan puasa, tapi apabila tiba musim peperiksaan saya suka mendengar lagu- lagu raya bagi mengisi waktu rehat sebelum meneruskan telaah. Begitulah saya setiap kali tiba waktu peperiksaan pasti kerinduan terhadap keluarga begitu memuncak. Apabila mendengar lagu- lagu raya , terubat juga rasa rindu kepada keluarga dan kembali bersemangat untuk meneruskan pemahaman dan penghafalan. Kenapa lagu raya? Sebab setiap kali raya sahaja saya dapat bersama keluarga tersayang dan segala kenangan manis tersebut mampu mengubat rasa rindu saya kepada mereka. Alhamdulillah..

Sepanjang musim peperiksaan, kerap juga saya akan telefon ke rumah. Mendengar suara emak dan ayah sudah mampu mengubat rasa rindu dan mengembalikan semangat dalam diri. Kalau mak yang angkat; "Mak, ceq sayang mak, rindu mak! Doakan ceq na? Kirim salam semua! Assalamualaikum~". Begitulah jika ayah pula yang angkat. Kadang- kadang tak sampai satu minit pun. Rasa seperti hantar pesanan suara ja :P Hehe~ Emak dan ayah sudah sedia maklum dengan 'penyakit' anak depa ni siap gelak- gelak lagi bila saya telefon. Sabar neh~

Tapi kalau adik bongsu yang angkat bukan satu minit dah namanya, berminit- minit jadinya. Soalan paling bahaya dia akan tanya; "Kakak, bila kakak nak balik? Adik rindu kakak ni. Baliklah kakak." <== Huhu, di situ jugalah banjir melanda :P Tapi mujur mak sangat memahami. Mak pesan, kalau boleh telefon waktu adik p sekolah kecuali saya bersedia fizikal dan mental untuk menjawab soalan berbahaya daripadanya "-_- Adik, kamu memang sangat comel!! :P


Sebelum ni, jika saya rindu pada keluarga, iLuvislam akan menjadi tempat untuk saya mengubat rasa rindu. Melihat gelagat manusia di sana yang pelbagai ragam dan 'comel- comel' belaka terkadang membuatkan saya tersengih sendirian seperti orang kurang waras :P Tapi sekarang saya tidak berkesempatan lagi ziarah ke sana kerana kekangan masa dan takut tersangkut lama. Apa khabar mereka agaknya? Takpa, Allah ada untuk Melindunginya. InsyaALlah..


Ok, cukup dulu karutan saya untuk kali ini. Saya nak dengar lagu raya dulu! Esok masih ada exam ni..Hmm.. Selamat Berjuang!! Semangat!!

p/s: Menyesal baca? Kan dah habaq awai- awai entry ni sangat mengarut! Sapa suruh baca? Nasiblah~~~ :P

Wassalam~

read more

Tuesday, January 5, 2010

:. Sakit Mental? .: 1 kritikan

Tuesday, January 5, 2010 |
Bismillah...

Alhamdulillah, hari ini bermula sesi kuliah untuk blok 22 (Neurology and Behaviour Science), blok terakhir dalam semester lima. Sepatutnya kelas bermula semalam, tapi disebabkan ada majlis perasmian bangunan baru (cantik ^^) jadi sesi kuliah ditunda ke hari ini. Agak mengujakan juga semasa melewati bangunan baru tadi. "Barulah dikatakan universiti macamni!ehe~". Rakan rumah saya berseloroh. Bangunan asalnya yang berketinggian empat tingkat tidak mampu menampung sejumlah besar pelajar sehingga ada ura- ura mengatakan pihak universiti terpaksa mengambil langkah menghentikan kemasukan pelajar Malaysia untuk tahun hadapan disebabkan ruang kuliah yang agak terhad.

Alhamdulillah, kini bangunan baru telah pun siap dibina dan bangunan berketinggian lapan tingkat itu mampu menampung bilangan pelajar yang bertambah setiap tahun ^^ jika dilihatkan daripada kapasiti ruangan. Hari ini kelas sangat padat (empat kuliah)dan berurutan, bermula di awal pagi dan berakhir jam 2 petang (waktu tempatan) sehingga tidak sempat untuk mengisi perut. Saya tersenyum saat melihat jadual sepanjang tujuh minggu ini. Kelas memang sangat packed. Modul yang mirip 'yellow pages' juga telah diagihkan sebelum kelas kedua dimulai. Ehe, 'tawa dalam tangisan' ketika memegang modul yang begitu tebal sekali! Dulu zaman matrik pun malas nak belek 'pakcik camble', sekarang nih, buku setebal camble itulah yang perlu dikhatam selama lima minggu sebelum berhadapan dengan exam selama dua minggu berturut- turut (blh tempah Yun Nam Hair Care..lol).

Kuliah Psychiatry yang disampaikan oleh dr. Dan Hidayat pagi tadi sangat mengujakan. Terasa seperti sedang mengikuti kelas motivasi. Sangat best!! Rupanya dalam keadaan diri merasa sihat, secara tidak sedar sebenarnya menghidapi masalah 'sakit jiwa'. Eke~boleh pula fikiran saya terbang ke forum, teringat kepada sebuah thread yang bertajuk, " Rakyat Malaysia Sebenarnya Mengalami Masalah Mental" (saya agak2 ja nih~Huhu sangat merindui forum walaupun baru sehari tinggal! Semoga semuanya baik- baik saja, InsyaAllah ^^) .

Sebenarnya, susah untuk mengatakan seseorang itu mempunyai jiwa yang sihat atau tidak kerana banyak faktor yang diambil kira dan dinilai secara mendalam dan bukan sekadar dilihat melalui pandangan kasar. Psychiatry adalah cabang ilmu yang mempelajari segala aspek mental manusia (bio- psycho-social), sama ada dalam keadaan sihat ataupun sakit serta meneliti genesis( penyebab/perkembangan), diagnosis (pemeriksaan), therapy (pengubatan), rehabilitation (pemulihan), prevention (pencegahan) gangguan jiwa dan promotion (memberi pendidikan)kesihatan jiwa. Ia dinilai berdasarkan perasaan, fikiran dan juga perilaku seseorang.

Saya kongsikan beberapa definisi mengenai kesihatan jiwa/ mental:

Mental health is state of wellbeing in which the individual realises his or her own ablities, can ope with the normal stress life, can work productively and fruitfully, and is able to make a contribution to his or her own community (WHO-World Health Report 2001- glossary)

Mental health is:

1) They feel good about themselves,
2) They feel comfortable with other people,
3) They are able to meet the demands of life

(World Federation for Mental Health - 9 October 1993)

Juga saya kongsikan beberapa ciri mental yang sihat:

1) Menyedari sepenuhnya akan kemampuan diri.
2) Mampu menghadapi stress kehidupan yang wajar (belajar, kerja, dsb).
3) Mampu bekerja secara produktif dan memenuhi keperluan hidupnya.
4) Mudah bergaul dalam lingkungan/ persekitaran.
5) Menerima diri seadanya (baik atau buruk).
6) Merasa senang ketika bersama orang lain.

Mungkin itu sahaja yang dapat saya kongsikan berdasarkan kuliah yang saya peroleh pagi tadi. Sekadar ingin berkongsi ^^. Jika dihitung, itu hanyalah 0.01 % (pandai2 ja nih :P ) daripada isi kuliah tadi dan masih banyak lagi yang dibahas dalam subtopik- subtopik dalam bidang psychiatry ini. Mudah- mudahan bermanfaat juga buat kalian yang membacanya, InsyaAllah.

Sekian dulu perkongsian saya kali ini. Mungkin selepas ini saya akan membiarkan blog ini berhabuk dan palling kronik dipenuhi sarang labah- labah memandangkan jadual kuliah yang begitu padat sehingga tidak mengizinkan saya untuk 'berfoya- foya'. Tambahan apabila sudah mula kuliah, saya tak mampu untuk memikirkan perkara lain apatah lagi memikirkan ayat- ayat yang manis untuk dikongsikan kepada pembaca (manis kah?hmm). Jadi, sebelum saya mengarut yang bukan- bukan, lebih baiklah saya bertapa dahulu untuk sementara waktu. Sabar neh. Jika berkelapangan, InsyaAllah saya akan coretkan sesuatu buat renungan kita bersama di sini. Sebarang kekurangan haraplah dimaafkan. Semoga Allah swt memberi Kelapangan dan Permudahkan segala urusan kita di sepanjang perjalanan di dunia sementara ini untuk menuju ke sebuah destinasi yang pasti, Aminn Ya Rabbal 'Alamin.

Semoga sihat jasmani dan rohani, InsyaAllah.

Siruu 'Ala Barakatillah, Barakallah fik ^^

read more

Friday, January 1, 2010

:. Kenangan Satu Disember .: 0 kritikan

Friday, January 1, 2010 |
Bismillah...

Sudah lama rasanya saya membiarkan blog ini sepi tanpa perkongsian untuk renungan diri sendiri dan juga buat tetamu yang singgah sebentar di sini. Alhamdulillah, saya masih diberikan nikmat hidup oleh Allah swt sehingga ke hari ini dan semoga nikmat ini selari dengan pertambahan iman dan taqwa, Aminn. Mungkin entry ini agak kelewatan kerana pada tarikh yang sepatutnya saya masih berperang di medan peperiksaan dan sibuk dengan urusan lain =)

Hari ini tanggal 1 Januari 2010, permulaan hari untuk tahun baru . Bagaimana dengan azam kita tahun lepas? Jika tidak dapat ditunaikan 100%, mungkin 10% sudah cukup memadai bagi insan yang sentiasa ditemani pelbagai ujian yang terkadang menjadi penghalang kepada sebuah kejayaan. Namun, usaha itu perlu dilipatgandakan untuk membuat yang lebih baik pada masa hadapan. Ingat kata pepatah; gagal sekali tidak bermakna akan gagal selama- lamanya dan manusia yang cemerlang bukan manusia yang sentiasa melakar sejarah tetapi manusia yang akan tetap bangkit walaupun berkali tersungkur. Alhamdulillah, hari ini juga merupakan hari yang istimewa buat ayahanda tercinta. Selamat ulangtahun Ayah! Semoga Rahmat Allah swt sentiasa bersamamu, Aminn Ya Rabbal 'Alamin.

Alhamdulillah, tanggal 1 Disember yang lepas genap setahun saya bersama barisan moderator iLuvislam.com dan pastinya sepanjang perjalanan saya di sana terlalu banyak pengalaman dan ilmu yang telah saya peroleh sehingga tidak terhitung dengan realiti. Alhamdulillah. Segala kenangan saya sepanjang bersama barisan moderator dalam meniti titian dakwah ini akan saya abadikan sebagai salah satu kenangan paling berharga yang takkan saya lupakan sampai ke akhir hayat saya. InsyaAllah, dengan izin-Nya.

Sungguh saya masih tidak dapat menerima kenyataan bahawa sekarang saya adalah seorang moderator sebuah laman web islamik yang cukup terkenal masa kini tapi itulah kenyataan yang harus saya terima. Jawatan yang saya pikul bukanlah sesuatu yang harus dibanggakan tetapi ianya sebuah anugerah yang harus dipelihara dan dihargai dengan sebaik mungkin. Anugerah di sini bukanlah pada nama tapi pada tanggungjawab yang terletak di bahu seorang moderator. Sebuah anugerah yang dicari-cari oleh insan yang ingin memberi. Alhamdulillah, kehidupan saya juga sudah banyak berubah sejak bersama team moderator dan saya yakin ianya adalah sebuah perubahan yang membawa kebahagiaan buat diri ini. InsyaAllah.

Walaupun sumbangan saya tidak seberapa di sana, sekadar membantu yang termampu tapi ianya mampu membuat diri ini berasa gembira. Bukan gembira kerana memiliki jawatan di sana tapi gembira kerana saya berpeluang memberikan sesuatu kepada orang lain walaupun saya sedar ianya tidaklah seberapa. Semoga hati ini sentiasa ikhlas memikul amanah ini untuk mencari Keredhaan Allah swt dan bukan mengejar pangkat dan sanjungan, Aminn..

Pada awalnya, saya juga tidak tahu mengapa saya memilih untuk menjadi moderator. Saya hanya menganggap itu adalah rezeki daripada Allah swt tapi benarlah, Allah tidak pernah menjadikan sesuatu dengan sia-sia. Apa yang saya pasti, sejak hari pertama saya memikul amanah ini, setiap hari terasa semakin dekat saya dengan iLuvislam.com dan seterusnya lebih mengenali Islam secara mendalam. Alhamdulillah. Di sana juga saya belajar erti sebuah tanggungjawab dan makna sebenar sebuah perjuangan berlandaskan kalam daripada Allah swt dan As-sunnah daripada Rasul junjungan, Nabi Muhammad saw. Di sana peluang untuk berdakwah dan berbakti kepada ummah sangat luas dan suasana Islam itu jelas dapat dirasakan di sana apabila muslimin dan muslimat daripada seluruh dunia berkumpul di sana bersama pengetahuan dan pandangan masing- masing terhadap sesuatu isu yang berbangkit di samping mengukuhkan ukhwah sesama ummah. Alhamdulillah.

Jika realiti saya tidak mampu berdakwah dengan pertuturan, tapi Allah swt berikan saya peluang untuk memanfaat anggota anugerahnya untuk berdakwah dalam penulisan, termasuklah perkongsian di blog ini. Realiti saya bukanlah seorang yang mampu untuk menegur kesalahan orang lain secara terbuka tetapi teguran itu lebih gemar saya sampaikan melalui perlakuan. Jika di forum saya mampu menaip beratus perkataan, tapi di alam realiti belum tentu sepuluh perkataan mampu saya ucapkan. Jika di forum saya nampak seperti orang yang banyak cakap, tapi realitinya mungkin berbeza. Jadi, saya tak hairan kalau mereka yang baru berjumpa saya di alam realiti mengatakan saya individu yang berbeza seperti yang mereka kenal di alam maya.

Realitinya juga saya bukanlah seorang yang tinggi ilmunya cuma saya suka berkongsi bersama insan lain berdasarkan pandangan peribadi dan juga melalui bahan - bahan dari pelbagai sumber yang saya perolehi. Jika ada kesalahan sama- sama dapat berdiskusi dan yang lebih berpengetahuan dapat menegur untuk memperbaiki kesilapan. Alhamdulillah, iLuvislam.com banyak membuka peluang kepada saya untuk mendidik diri sebagai persiapan menuju kehidupan yang bahagia bukan sahaja di dunia dan InsyaAllah buat bekalan di 'sana' juga.

Sepanjang setahun ini telah mampu membuka mata saya bahawa bukanlah sesuatu yang mudah untuk terus berdiri dan melewati jalan dakwah ini. Pernah diri ini mengaku kalah dengan kelelahan diri sendiri untuk terus berada di medan dakwah ini sehingga akhirnya saya membuat keputusan untuk meletakkan jawatan tetapi ditolak. Saya masih berada di sana juga berkat bimbingan dan kata-kata semangat yang tidak pernah jemu dikongsikan oleh sahabat- sahabat moderator yang lain. Mungkin inilah juga salah satu pertimbangan berat yang saya rasakan sebelum mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan. Sebuah kemanisan 'cinta' yang takkan saya dapat di mana-mana. Terima kasih sahabat-sahabat moderator.

Kelelahan itu tidak pada tenaga yang saya curahkan buat iLuvislam.com kerana sememangnya kudrat itu datangnya daripada Allah swt dan saya cuba menggunakan nikmat yang diberi untuk melakukan sesuatu yang mendatangkan manfaat kepada diri sendiri mahupun orang lain (InsyaAllah). Tetapi saya lelah dengan waktu yang semakin terbatas untuk saya terus berjuang di sana. Komitmen terhadap pelajaran semakin bertambah seiring dengan pertambahan semester dan kesibukan itu jelas ternampak semenjak saya di tahun dua lagi.

Jadual harian di kampus semakin padat di tambah pula dengan aktiviti sampingan yang terkadang tidak dapat dielakkan. Dalam seminggu, cuma hari ahad sahaja kami diberikan cuti manakala enam hari yang lain selalunya kuliah bermula di awal pagi dan berakhir lewat petang. Hari ahad yang bersisa itu bukanlah untuk bersenang-senang tetapi perlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin untuk menyiapkan assignment dan presentatation yang diberikan pada minggu pertama perkuliahan.

Malamnya pula, jika bukan minggu peperiksaan, laptop ini akan menjadi teman untuk menunaikan amanah di forum iLuvislam.com. Itupun bergantung juga kepada line internet di sini. Jika meragam terpaksalah saya membatalkan hajat untuk melayari iLuvislam.com pada masa itu. Kadang-kadang waktu rehat/ lapang di kampus digunakan untuk melangsaikan hutang semalamnya memandangkan line internet di kampus lebih laju berbanding di rumah sehinggakan pakcik yang menjaga makmal komputer pun telah cam muka saya yang selalu singgah di sana pada waktu rehat =)

Jika dibahas soal jadual, memang mengerikan sekali tetapi tidak ada yang perlu dirungutkan kerana itu semua adalah tanggungjawab! Saya sentiasa ingat pesan emak dan ayah; "Ikhlaskan hati dalam melakukan segala amanah. InsyaAllah di sebalik pengorbanan itu pasti ada kemanisan yang Allah swt janjikan". InsyaAllah, segala pesan itu akan diingati sampai ke akhir perjuangan hidup ini.

Dua faktor inilah yang menjadi alasan saya ketika ingin meletakkan jawatan dulu. Tidak semua orang dapat memahami keterbatasan yang kita hadapi dan saya bimbang kerana keterbatasan ini akan menjadi faktor kepada sahabat-sahabat yang lain untuk mengalah bersama lalu mengundur dari medan ini. Saya tidak mahu semangat mereka yang berkobar-kobar jatuh merundum disebabkan 'kemalasan' yang saya hadapi. Tapi mana mungkin mereka yang secekal itu mampu dipengaruhi oleh kelemahan dan kekurangan orang lain? Mungkin benar kata seorang 'hamba Allah', saya yang terlalu banyak berfikir barangkali. Astaghfirullah hal 'azim.

Walau bagaimanapun, saya masih lagi berada di sini bersama barisan moderator-moderator dan krew- krew iLuvislam. com untuk bersama berpaut antara satu sama lain dalam meniti titian dakwah ini. Perjalanan kami masih jauh dan pastinya masih banyak lagi ujian yang setia menanti untuk menguji keteguhan iman dan kekuatan ukhwah yang terbina. Semoga Perlindungan dan Pemeliharaan daripada Allah swt sentiasa mengiringi perjalanan kami dalam menempuh segala kesulitan yang bakal kami hadapi kelak. Doa daripada semua semoga agar kami tetap teguh berdiri dan terus maju ke hadapan tanpa mengaku kalah lalu mengundur diri daripada perjuangan ini.

Seinfiniti ucapan terima kasih kepada sahabat moderator yang banyak memberi bimbingan dan kata -kata semangat buat diri ini agar terus tabah dalam menunaikan amanah ini dan sekalung penghargaan kepada semua kerana masih mampu bertahan sehingga ke hari ini, berdiri di saf hadapan bersama admin dan krew- krew yang lain. Bersama Pertolongan Allah swt dan sokongan daripada pengunjung-pengunjung iLi, sekarang iLuvislam.com semakin dikenali ramai dengan pelbagai usaha dan pencapaian yang cukup membanggakan. Syabas!! iLuvislam.com semakin selesa bertapak di hati para mujahid dan mujahidah yang mencintai Islam dan semoga makin banyak lagi kejayaan yang bakal tercipta untuk ummah!InsyaAllah.

Khas buat rakan setugas yang selama ini banyak berkongsi tawa dan tangisan bersama- sama sehingga saya merasakan anda semua adalah antara yang insan saya paling sayang di dunia . Kita hadapi segala masalah di forum bersama- sama dan kita berdiskusi untuk mencari titik penyelesaiannya. kadang- kadang antara kita juga saling berbeza pendapat tetapi perbezaan itulah yang menjadi penyatuan hati- hati kita sehingga ke hari ini. Apabila ada teman yang lelah, semua pasti hadir memberikan kata-kata perangsang agar pulih kembali semangat yang hilang. Saat user bertelagah, kita hadir sebagai hero di tengah- tengah keriuhan membawa perdamaian kerana kedamaian itu yang kita cintai dan cuba kita semaikan dalam forum yang kita cintai ini.

Walaupun segelintir memandang kita insan yang kuat tetapi di sebalik ketegasan itu, kita tidak pernah lari daripada sifat seorang hamba yang lemah; mampu rapuh dengan kata-kata manusia yang terkadang lebih tajam daripada mata pisau. Saat hati kita luluh ketika dihujani kata-kata sindiran mahupun cacian daripada manusia yang sentiasa diburui nafsu hadir teman yang menenangkan dengan memberi kata- kata semangat untuk mengembalikan kepercayaan diri. Semoga kasih sayang ini akan berkekalan bukan sahaja di dunia tetapi dibawa bersama amalan di akhirat kelak. Semoga rasa cinta ini bukan menempahkan Kemurkaan Allah swt tetapi diiringi Keredhaan dan Keberkatan daripada-Nya. Aminn..

Tidak dilupakan buat semua pengunjung iLi yang sentiasa memberikan sokongan dan berkongsi ilmu bersama pelayar- pelayar yang lain. Tahniah kepada anda semua kerana sokongan daripada anda semua juga menjadi kayu ukur kepada kejayaan iLuvislam.com pada hari ini. Mudah-mudahan kita bersama memperoleh manfaat daripadanya dan semoga sepanjang pelayaran kita Diberkati dan Dipelihara oleh Allah swt daripada perkara mungkar. Kami sentiasa menghargai dan mengalu-alukan kedatangan semua ke iLuvislam.com terutama Forum iLi agar kita bersama dapat mencari erti cinta kepada Islam yang sebenar melalui iLuvislam.com sesuai dengan temanya; Discover The Beauty of Islam. InsyaALlah.

Sekian celoteh daripada insan lemah yang bernama manusia. Saya menyusun sepuluh jari beserta kerendahan hati memohon maaf kepada semua yang mengenali saya sama ada di alam nyata mahupun maya atas segala kesilapan dan keterlanjuran yang pernah saya lakukan. Doa saya, iLuvislam.com dan wadah dakwah yang terus gemilang untuk terus memartabatkan Islam sebagai agama yang begitu sempurna daripada Sang Pencipta, Allah swt. Kepada semua umat Islam, ini adalah amanah yang harus kita pikul bersama seperti perintah Allah swt :

Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia kecuali agar mereka beribadah” (QS. Adz Dzaariyaat: 56)

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma’ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan shalat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (At-Taubah:71)


Siruu 'Ala Barakatillah..


read more

Salam Ta'aruf

My photo
Kebahagiaan Itu Adalah Sebuah Ketenangan dan Ketenangan Itu Adalah dengan Mengingati Tuhan..

Masa Itu Emas

Ukhwah Fillah

Followers

Hiburan Mendidik Jiwa

Jejak Kembara

 

Hadis Nabi

Doaku untuk-Mu

Bismillah..

Ya ALlah

Jika aku jatuh cinta
Cintakanlah aku pada seseorang
Yang melabuhkan cintanya pada-Mu
Agar bertambah kekuatanku untuk mencintai-Mu

Ya Muhaimin
Jika aku jatuh hati
Izinkanlah aku menyentuh hati seseorang
Yang hatinya tertaut pada-Mu
Agat tidak terjatuh aku dalam jurang cinta nafsu

Ya Rabbana
Jika aku jatuh hati
Jagalah hatiku padanya
Agar tidak berpaling daripada hati-Mu

Ya Rabbul Izzati
Jika aku rindu
Rindukanlah aku pada seseorang
Yang merindui syahid di jalan-Mu

Ya ALlah
Jika aku menikmati cinta kekasih-Mu
Janganlah kenikmatan itu melebihi kenikmatan
Indahnya bermunajat di sepertiga malam terakhir-Mu

Ya ALlah
Jika aku jatuh hati pada kekasih-Mu
Jangan biarkan aku tertatih dan terjatuh
Dalam perjalanan panjang menyeru manusia kepada-Mu

Ya ALlah
Jika Kau halalkan aku merindui kekasih-Mu
Jangan biarkan aku melampaui batas
Sehingga melupakan aku pada cinta hakiki
Dan rindu abadi hanya kepada-Mu

Aminn..Ya Rabbal 'Alaminn..

Kalam Allah

Copyright © Lakaran Pena Kehidupan | Powered by Blogger | Template by Blog Go Blog