Friday, January 1, 2010

:. Kenangan Satu Disember .:

Friday, January 1, 2010 |
Bismillah...

Sudah lama rasanya saya membiarkan blog ini sepi tanpa perkongsian untuk renungan diri sendiri dan juga buat tetamu yang singgah sebentar di sini. Alhamdulillah, saya masih diberikan nikmat hidup oleh Allah swt sehingga ke hari ini dan semoga nikmat ini selari dengan pertambahan iman dan taqwa, Aminn. Mungkin entry ini agak kelewatan kerana pada tarikh yang sepatutnya saya masih berperang di medan peperiksaan dan sibuk dengan urusan lain =)

Hari ini tanggal 1 Januari 2010, permulaan hari untuk tahun baru . Bagaimana dengan azam kita tahun lepas? Jika tidak dapat ditunaikan 100%, mungkin 10% sudah cukup memadai bagi insan yang sentiasa ditemani pelbagai ujian yang terkadang menjadi penghalang kepada sebuah kejayaan. Namun, usaha itu perlu dilipatgandakan untuk membuat yang lebih baik pada masa hadapan. Ingat kata pepatah; gagal sekali tidak bermakna akan gagal selama- lamanya dan manusia yang cemerlang bukan manusia yang sentiasa melakar sejarah tetapi manusia yang akan tetap bangkit walaupun berkali tersungkur. Alhamdulillah, hari ini juga merupakan hari yang istimewa buat ayahanda tercinta. Selamat ulangtahun Ayah! Semoga Rahmat Allah swt sentiasa bersamamu, Aminn Ya Rabbal 'Alamin.

Alhamdulillah, tanggal 1 Disember yang lepas genap setahun saya bersama barisan moderator iLuvislam.com dan pastinya sepanjang perjalanan saya di sana terlalu banyak pengalaman dan ilmu yang telah saya peroleh sehingga tidak terhitung dengan realiti. Alhamdulillah. Segala kenangan saya sepanjang bersama barisan moderator dalam meniti titian dakwah ini akan saya abadikan sebagai salah satu kenangan paling berharga yang takkan saya lupakan sampai ke akhir hayat saya. InsyaAllah, dengan izin-Nya.

Sungguh saya masih tidak dapat menerima kenyataan bahawa sekarang saya adalah seorang moderator sebuah laman web islamik yang cukup terkenal masa kini tapi itulah kenyataan yang harus saya terima. Jawatan yang saya pikul bukanlah sesuatu yang harus dibanggakan tetapi ianya sebuah anugerah yang harus dipelihara dan dihargai dengan sebaik mungkin. Anugerah di sini bukanlah pada nama tapi pada tanggungjawab yang terletak di bahu seorang moderator. Sebuah anugerah yang dicari-cari oleh insan yang ingin memberi. Alhamdulillah, kehidupan saya juga sudah banyak berubah sejak bersama team moderator dan saya yakin ianya adalah sebuah perubahan yang membawa kebahagiaan buat diri ini. InsyaAllah.

Walaupun sumbangan saya tidak seberapa di sana, sekadar membantu yang termampu tapi ianya mampu membuat diri ini berasa gembira. Bukan gembira kerana memiliki jawatan di sana tapi gembira kerana saya berpeluang memberikan sesuatu kepada orang lain walaupun saya sedar ianya tidaklah seberapa. Semoga hati ini sentiasa ikhlas memikul amanah ini untuk mencari Keredhaan Allah swt dan bukan mengejar pangkat dan sanjungan, Aminn..

Pada awalnya, saya juga tidak tahu mengapa saya memilih untuk menjadi moderator. Saya hanya menganggap itu adalah rezeki daripada Allah swt tapi benarlah, Allah tidak pernah menjadikan sesuatu dengan sia-sia. Apa yang saya pasti, sejak hari pertama saya memikul amanah ini, setiap hari terasa semakin dekat saya dengan iLuvislam.com dan seterusnya lebih mengenali Islam secara mendalam. Alhamdulillah. Di sana juga saya belajar erti sebuah tanggungjawab dan makna sebenar sebuah perjuangan berlandaskan kalam daripada Allah swt dan As-sunnah daripada Rasul junjungan, Nabi Muhammad saw. Di sana peluang untuk berdakwah dan berbakti kepada ummah sangat luas dan suasana Islam itu jelas dapat dirasakan di sana apabila muslimin dan muslimat daripada seluruh dunia berkumpul di sana bersama pengetahuan dan pandangan masing- masing terhadap sesuatu isu yang berbangkit di samping mengukuhkan ukhwah sesama ummah. Alhamdulillah.

Jika realiti saya tidak mampu berdakwah dengan pertuturan, tapi Allah swt berikan saya peluang untuk memanfaat anggota anugerahnya untuk berdakwah dalam penulisan, termasuklah perkongsian di blog ini. Realiti saya bukanlah seorang yang mampu untuk menegur kesalahan orang lain secara terbuka tetapi teguran itu lebih gemar saya sampaikan melalui perlakuan. Jika di forum saya mampu menaip beratus perkataan, tapi di alam realiti belum tentu sepuluh perkataan mampu saya ucapkan. Jika di forum saya nampak seperti orang yang banyak cakap, tapi realitinya mungkin berbeza. Jadi, saya tak hairan kalau mereka yang baru berjumpa saya di alam realiti mengatakan saya individu yang berbeza seperti yang mereka kenal di alam maya.

Realitinya juga saya bukanlah seorang yang tinggi ilmunya cuma saya suka berkongsi bersama insan lain berdasarkan pandangan peribadi dan juga melalui bahan - bahan dari pelbagai sumber yang saya perolehi. Jika ada kesalahan sama- sama dapat berdiskusi dan yang lebih berpengetahuan dapat menegur untuk memperbaiki kesilapan. Alhamdulillah, iLuvislam.com banyak membuka peluang kepada saya untuk mendidik diri sebagai persiapan menuju kehidupan yang bahagia bukan sahaja di dunia dan InsyaAllah buat bekalan di 'sana' juga.

Sepanjang setahun ini telah mampu membuka mata saya bahawa bukanlah sesuatu yang mudah untuk terus berdiri dan melewati jalan dakwah ini. Pernah diri ini mengaku kalah dengan kelelahan diri sendiri untuk terus berada di medan dakwah ini sehingga akhirnya saya membuat keputusan untuk meletakkan jawatan tetapi ditolak. Saya masih berada di sana juga berkat bimbingan dan kata-kata semangat yang tidak pernah jemu dikongsikan oleh sahabat- sahabat moderator yang lain. Mungkin inilah juga salah satu pertimbangan berat yang saya rasakan sebelum mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan. Sebuah kemanisan 'cinta' yang takkan saya dapat di mana-mana. Terima kasih sahabat-sahabat moderator.

Kelelahan itu tidak pada tenaga yang saya curahkan buat iLuvislam.com kerana sememangnya kudrat itu datangnya daripada Allah swt dan saya cuba menggunakan nikmat yang diberi untuk melakukan sesuatu yang mendatangkan manfaat kepada diri sendiri mahupun orang lain (InsyaAllah). Tetapi saya lelah dengan waktu yang semakin terbatas untuk saya terus berjuang di sana. Komitmen terhadap pelajaran semakin bertambah seiring dengan pertambahan semester dan kesibukan itu jelas ternampak semenjak saya di tahun dua lagi.

Jadual harian di kampus semakin padat di tambah pula dengan aktiviti sampingan yang terkadang tidak dapat dielakkan. Dalam seminggu, cuma hari ahad sahaja kami diberikan cuti manakala enam hari yang lain selalunya kuliah bermula di awal pagi dan berakhir lewat petang. Hari ahad yang bersisa itu bukanlah untuk bersenang-senang tetapi perlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin untuk menyiapkan assignment dan presentatation yang diberikan pada minggu pertama perkuliahan.

Malamnya pula, jika bukan minggu peperiksaan, laptop ini akan menjadi teman untuk menunaikan amanah di forum iLuvislam.com. Itupun bergantung juga kepada line internet di sini. Jika meragam terpaksalah saya membatalkan hajat untuk melayari iLuvislam.com pada masa itu. Kadang-kadang waktu rehat/ lapang di kampus digunakan untuk melangsaikan hutang semalamnya memandangkan line internet di kampus lebih laju berbanding di rumah sehinggakan pakcik yang menjaga makmal komputer pun telah cam muka saya yang selalu singgah di sana pada waktu rehat =)

Jika dibahas soal jadual, memang mengerikan sekali tetapi tidak ada yang perlu dirungutkan kerana itu semua adalah tanggungjawab! Saya sentiasa ingat pesan emak dan ayah; "Ikhlaskan hati dalam melakukan segala amanah. InsyaAllah di sebalik pengorbanan itu pasti ada kemanisan yang Allah swt janjikan". InsyaAllah, segala pesan itu akan diingati sampai ke akhir perjuangan hidup ini.

Dua faktor inilah yang menjadi alasan saya ketika ingin meletakkan jawatan dulu. Tidak semua orang dapat memahami keterbatasan yang kita hadapi dan saya bimbang kerana keterbatasan ini akan menjadi faktor kepada sahabat-sahabat yang lain untuk mengalah bersama lalu mengundur dari medan ini. Saya tidak mahu semangat mereka yang berkobar-kobar jatuh merundum disebabkan 'kemalasan' yang saya hadapi. Tapi mana mungkin mereka yang secekal itu mampu dipengaruhi oleh kelemahan dan kekurangan orang lain? Mungkin benar kata seorang 'hamba Allah', saya yang terlalu banyak berfikir barangkali. Astaghfirullah hal 'azim.

Walau bagaimanapun, saya masih lagi berada di sini bersama barisan moderator-moderator dan krew- krew iLuvislam. com untuk bersama berpaut antara satu sama lain dalam meniti titian dakwah ini. Perjalanan kami masih jauh dan pastinya masih banyak lagi ujian yang setia menanti untuk menguji keteguhan iman dan kekuatan ukhwah yang terbina. Semoga Perlindungan dan Pemeliharaan daripada Allah swt sentiasa mengiringi perjalanan kami dalam menempuh segala kesulitan yang bakal kami hadapi kelak. Doa daripada semua semoga agar kami tetap teguh berdiri dan terus maju ke hadapan tanpa mengaku kalah lalu mengundur diri daripada perjuangan ini.

Seinfiniti ucapan terima kasih kepada sahabat moderator yang banyak memberi bimbingan dan kata -kata semangat buat diri ini agar terus tabah dalam menunaikan amanah ini dan sekalung penghargaan kepada semua kerana masih mampu bertahan sehingga ke hari ini, berdiri di saf hadapan bersama admin dan krew- krew yang lain. Bersama Pertolongan Allah swt dan sokongan daripada pengunjung-pengunjung iLi, sekarang iLuvislam.com semakin dikenali ramai dengan pelbagai usaha dan pencapaian yang cukup membanggakan. Syabas!! iLuvislam.com semakin selesa bertapak di hati para mujahid dan mujahidah yang mencintai Islam dan semoga makin banyak lagi kejayaan yang bakal tercipta untuk ummah!InsyaAllah.

Khas buat rakan setugas yang selama ini banyak berkongsi tawa dan tangisan bersama- sama sehingga saya merasakan anda semua adalah antara yang insan saya paling sayang di dunia . Kita hadapi segala masalah di forum bersama- sama dan kita berdiskusi untuk mencari titik penyelesaiannya. kadang- kadang antara kita juga saling berbeza pendapat tetapi perbezaan itulah yang menjadi penyatuan hati- hati kita sehingga ke hari ini. Apabila ada teman yang lelah, semua pasti hadir memberikan kata-kata perangsang agar pulih kembali semangat yang hilang. Saat user bertelagah, kita hadir sebagai hero di tengah- tengah keriuhan membawa perdamaian kerana kedamaian itu yang kita cintai dan cuba kita semaikan dalam forum yang kita cintai ini.

Walaupun segelintir memandang kita insan yang kuat tetapi di sebalik ketegasan itu, kita tidak pernah lari daripada sifat seorang hamba yang lemah; mampu rapuh dengan kata-kata manusia yang terkadang lebih tajam daripada mata pisau. Saat hati kita luluh ketika dihujani kata-kata sindiran mahupun cacian daripada manusia yang sentiasa diburui nafsu hadir teman yang menenangkan dengan memberi kata- kata semangat untuk mengembalikan kepercayaan diri. Semoga kasih sayang ini akan berkekalan bukan sahaja di dunia tetapi dibawa bersama amalan di akhirat kelak. Semoga rasa cinta ini bukan menempahkan Kemurkaan Allah swt tetapi diiringi Keredhaan dan Keberkatan daripada-Nya. Aminn..

Tidak dilupakan buat semua pengunjung iLi yang sentiasa memberikan sokongan dan berkongsi ilmu bersama pelayar- pelayar yang lain. Tahniah kepada anda semua kerana sokongan daripada anda semua juga menjadi kayu ukur kepada kejayaan iLuvislam.com pada hari ini. Mudah-mudahan kita bersama memperoleh manfaat daripadanya dan semoga sepanjang pelayaran kita Diberkati dan Dipelihara oleh Allah swt daripada perkara mungkar. Kami sentiasa menghargai dan mengalu-alukan kedatangan semua ke iLuvislam.com terutama Forum iLi agar kita bersama dapat mencari erti cinta kepada Islam yang sebenar melalui iLuvislam.com sesuai dengan temanya; Discover The Beauty of Islam. InsyaALlah.

Sekian celoteh daripada insan lemah yang bernama manusia. Saya menyusun sepuluh jari beserta kerendahan hati memohon maaf kepada semua yang mengenali saya sama ada di alam nyata mahupun maya atas segala kesilapan dan keterlanjuran yang pernah saya lakukan. Doa saya, iLuvislam.com dan wadah dakwah yang terus gemilang untuk terus memartabatkan Islam sebagai agama yang begitu sempurna daripada Sang Pencipta, Allah swt. Kepada semua umat Islam, ini adalah amanah yang harus kita pikul bersama seperti perintah Allah swt :

Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia kecuali agar mereka beribadah” (QS. Adz Dzaariyaat: 56)

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma’ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan shalat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (At-Taubah:71)


Siruu 'Ala Barakatillah..



Related Posts



0 kritikan:

Salam Ta'aruf

My photo
Kebahagiaan Itu Adalah Sebuah Ketenangan dan Ketenangan Itu Adalah dengan Mengingati Tuhan..

Masa Itu Emas

Ukhwah Fillah

Followers

Hiburan Mendidik Jiwa

Jejak Kembara

 

Hadis Nabi

Doaku untuk-Mu

Bismillah..

Ya ALlah

Jika aku jatuh cinta
Cintakanlah aku pada seseorang
Yang melabuhkan cintanya pada-Mu
Agar bertambah kekuatanku untuk mencintai-Mu

Ya Muhaimin
Jika aku jatuh hati
Izinkanlah aku menyentuh hati seseorang
Yang hatinya tertaut pada-Mu
Agat tidak terjatuh aku dalam jurang cinta nafsu

Ya Rabbana
Jika aku jatuh hati
Jagalah hatiku padanya
Agar tidak berpaling daripada hati-Mu

Ya Rabbul Izzati
Jika aku rindu
Rindukanlah aku pada seseorang
Yang merindui syahid di jalan-Mu

Ya ALlah
Jika aku menikmati cinta kekasih-Mu
Janganlah kenikmatan itu melebihi kenikmatan
Indahnya bermunajat di sepertiga malam terakhir-Mu

Ya ALlah
Jika aku jatuh hati pada kekasih-Mu
Jangan biarkan aku tertatih dan terjatuh
Dalam perjalanan panjang menyeru manusia kepada-Mu

Ya ALlah
Jika Kau halalkan aku merindui kekasih-Mu
Jangan biarkan aku melampaui batas
Sehingga melupakan aku pada cinta hakiki
Dan rindu abadi hanya kepada-Mu

Aminn..Ya Rabbal 'Alaminn..

Kalam Allah

Copyright © Lakaran Pena Kehidupan | Powered by Blogger | Template by Blog Go Blog