Bismillah..
Sejak lahir , sepasang kembar yang seorang diberi nama kanan dan seorang lagi diberi nama kiri sangat rapat dan tidak pernah berenggang walau ke mana sahaja mereka pergi. Di mana ada kanan di situ jugalah ada si kiri sehingga kadang-kadang ada yang cemburu melihat keintiman mereka berdua yang amat sukar dipisahkan.
Suatu hari, kiri ternampak kanan memberi sesuatu kepada orang lain. Timbul tanda tanya dalam dirinya ekoran daripada sikap si kanan. Dia hanya mendiamkan diri dan menunggu jikalau kanan akan memberitahu kepadanya akan perkara yang baru dilihatnya sebentar tadi. Namun dia hampa apabila kanan berperilaku seperti biasa seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku.
Oleh kerana resah dilanda perasaan tanda tanya dan mungkin terasa dipinggirkan, si kiri akhirnya bertanya kepada si kanan mengenai hal tersebut. Kanan agak terkejut dengan pertanyaan si kiri kerana pada kiraan si kanan, si kiri tidak nampak akan kejadian tersebut namun sebaliknya yang berlaku. Memang mereka selalu bersama walau ke mana jua mereka pergi tetapi mereka tidak pernah jalan seiring. Jika seorang di hadapan, seorang lagi pasti di belakang dan mereka bergilir-gilir kedudukan saat berjalan.
“Kiri, saya minta maaf jika awak terasa dengan tindakan saya tersebut tapi saya tidak berniat untuk sembunyikan apa sahaja daripada awak, kiri. Sebelum ni kita pernah menerima dan memberi secara bersama-sama. Begitu juga saat antara salah seorang daripada kita sakit, seorang lagi bertindak sebagai perawat. Tujuannya agar dapat kita saling berkongsi suka dan duka dan juga agar kita sama- sama dapat ambil pelajaran atas apa yang berlaku.
Tapi, saya nak awak faham kiri. Ada masanya apa yang kita lakukan tidak perlu diketahui oleh orang lain. Saya bimbang, keikhlasan saya bercampur dengan perasaan ujub yang merosakkan kebaikan yang saya hulurkan. Cukuplah saya yakin, apa yang saya lakukan ada Dzat yang sedang Melihat agar saya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terjatuh ke lembah hina.
Walau suatu hari nanti, orang tidak lagi memandang ke arah saya kerana menganggap diri ini tidak pernah menyumbang apa-apa kepada mereka,saya telah bersedia untuk menerimanya kerana pandangan Pengadili kita di sana nanti lebih penting daripada pandangan mereka. Cukuplah mereka merasa kebaikan yang dihulurkan tanpa mengetahui siapa yang menghulurnya. Lagi pula, semua itu bukan milik saya, tetapi saya hanya bertindak sebagai pengantara, melunaskan amanah yang diberikan.”
“ .....Dan apa saja yang kamu nafkahkan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya “ [Ali Imran: 92]
Sebenarnya, bukan sahaja si kanan yang pernah melakukan sesuatu tanpa pengetahuan si kiri tetapi keadaan yang sebaliknya juga pernah berlaku kerana menyanggap ada suatu perkara mereka perlu lakukan bersama dan ada juga yang perlu dilakukan secara bersendirian. Tetapi entah mengapa, melihat perbuatan si kanan tempoh hari menyebabkan kiri terasa hati sehingga perhubungan mereka sedikit keruh. Namun, setelah mendengar penjelasan daripada kanan, kiri akhirnya mengerti dan meyesal kerana berprasangka yang tidak baik kepada separuh daripada jasadnya itu.
Sabda Rasulullah saw: “ Sesungguhnya Allah tidak menerima amal itu kecuali amal daripada orang yang ikhlas dan yang mengharapkan keredhaan-Nya.” (HR Abu Daud dan Nasa'i)
Allahu'alam..
0 kritikan:
Post a Comment