Thursday, August 19, 2010

Puasa Anggota? 0 kritikan

Thursday, August 19, 2010 |


Assalamualaikum Warahmatullahi Wa Barakatuh.

Apa khabar kalian? Mudah-mudahan sihat wal afiat, iman dan tubuh badan. Amin.

Salam Ramadhan Kareem. Alhamdulillah, lapan hari dah kita menjalani ibadah puasa dalam bulan Ramadhan ni. Mudah- mudahan Ramadhan kali ini menjadi platform yang lebih baik untuk kita meningkatkan momentum kecemerlangan diri menjadi hamba sebenar- benar hamba di dunia dan akhirat, InsyaAllah.

Sedikit perkongsian daripada saya sempena bulan Ramadhan ini. Mudah-mudahan bermanfaat, InsyaAllah.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Pada suatu petang ketika hampir masuk waktu untuk berbuka puasa.

Mata: Assalamualaikum.

Hati: Wa'alaikumussalam. Eh, mata jemputlah masuk.

Mata: Takpela. Aku singgah sekejap je ni. Hati, tahu tak sepanjang hari ni aku banyak sangat melihat pemandangan yang cantik- cantik. Semasa sangkut dalam kesesakan lalu-lintas tadi aku lemparkan pandangan ke sekeliling. Langit membiru, pepohonan yang menghijau dan burung- burung berterbangan yang sungguh mendamaikan. Subhanallah, besarnya tanda Keagungan Allah SWT. Tengah aku memuji- muji kebesaran Pencipta, tiba- tiba lalu seorang awek ni. Dah la cun, seksi pula tu. Orang kata rezeki jangan ditolak. Kau nak tengok tak? Nah, kau ambillah. Aku kena balik dulu ni sebab tak lama lagi dah nak masuk waktu berbuka. Assalamualaikum.

Hati: Terima kasih mata. Wa'alaikumussalam.

Selang beberapa minit

Mulut: Assalamualaikum. Hati, oooh hati. Yuuuuu~

Hati: Wa'alaikumussalam. Oo mulut, ingatkan sapa tadi. Jemputlah masuk.

Mulut: Eh takpe- takpe. Saya sekejap je ni. Tu kat rumah tak sempat hidang apa- apa pun lagi untuk berbuka nanti. Sepanjang hari ni saya ada buat tadarus al- Quran, dzikir dan teguran baik buat anak- anak saya. Oh lupa, gosip panas pasal jiran atas kita si Mata tu pun ada. Saya dapat hasil mesyuarat bersama pemegang- pemegang saham Kelab Mengumpat Antarabangsa. Nah, semua ada dalam ni. Awak ambillah. Saya nak balik dulu ni. Assalamualaikum.

Hati: Err, terima kasih. Wa'alaikumussalam.

Sejurus kemudian. Tok!Tok! Terdengar ketukan pada daun pintu.

Telinga: Assalamualaikum, jiran bawah.

Hati: Wa'alaikumussalam. Oo telinga. Mai la masuk.

Telinga: Eh, takpa la. Dapuq ceq duk berasap tu. Terbakaq satgi, naya ceq. Ni, ceq ada bawakan hang rakaman ceramah agama yang ceq dengaq kat radio siang tadi. Rakaman lagu yang lentok- liuk pun ada. Hai, tangkap leleh ceq habaq kat hang! Kalau hang dengaq mesti hang duk ingat kat marka hang tu. Takpa, hang dengaq la dulu na. Ceq balik dulu, Assalamualaikum.

Hati: Terima kasih telinga. Wa'alaikumussalam.

Lima minit kemudian.

Tangan: Assalamualaikum.

Hati: Wa'alaikumussalam. Eh tange, masuk lah. Demo maghi dari mano ni?

Tangan: Trimo kaseh, hati. Ha, ini yang ambo nok royak maghi ke demo ni. Demo tahu ko dok, sepanje haghi ni, ambo g umoh anok- anok yatim, umoh ore- ore tuo, umoh ore- ore susoh. Syok Ooo!

Hati: Demo wat gapo g sano?

Tangan: Alhamdulillah. Taun ni rezeki ambo muroh sikit. Jadi, ambo ingat nok bagi- bagi la sore- sore sikit. Gini la kito weh saling membantu. Apo oghe tuo- tuo kato? Berbahagi kasih saye. Sebelum kelik tadi, ambo singgah meta kat masjid depe tuh bayar zakat fitroh skaliea ambo masuk dermo dale tabung masjid. Tapi ambo gere sungguh ke sekor anok kucing dale masjid tu. Ado ko patut dio kecing atas bare- bare ambo? Ambo gere, ambo terus puko kucing tu. Mapuh g la dio. Mujur la cik abe ambo ado. Dio usap- usap tange ambo ni, pujuk- pujuk ambo baru la ambo raso tene sikit. Adei, ambo lambat doh ni. Ambo nok bagi bare- bare ni untuk ore dekat- dekat sini pulok. Ambo kelik dulu deh. Ha, ni ambo bui sumo kat demo. Demo ambik lah. Assalamualaikum.

Hati: Trimo kasih. Jale molek- molek lah. Wa'alaikumussalam.

Tidak lama kemudian.

Kaki: Assalamuaikum, sahabat.

Hati: Wa'alaikumussalam. Oo kaki. Jemputlah masuk.

Kaki: La baksa. Ana singgah sekejap saja ni. Alhamdulillah, sepanjang bulan Ramadhan ni, ana bersyukur sangat kerana punya kudrat untuk menunaikan ibadah. Sebelum bulan Ramadhan, ana sentiasa solat fardhu secara berjemaah di masjid dan dalam bulan Ramadhan ni belum pernah sekalipun ana terlepas daripada solat sunat terawih di masjid. Lepas solat terawih, ana p minum bersama sahabat- sahabat ana di gerai simpang jalan tu. Lepas tu kami p rumah sahabat yang paling dekat dan berkumpul untuk bermain dota. Fuh, lagi ramai lagi meriah! Hati, apa kata malam ni anta ikut ana? Anta ni, terperuk je dalam rumah bukan ada apa. Mari la ikut ana. Ajak teman rumah anta yang ulat buku tu sekali. Ke anta tak suka bersahabat dengan ana?

Hati: La ballah. Erm, tengok la dulu, kaki.

Kaki: Lah, apa yang tengok- tengok pula? Hati, sekali sekala kita perlu berhibur juga, bergaul mencari teman. Bukannya duduk terperuk macam katak bawah tempurung ja. Erm takpela. Ana kena balik dulu. Nak masuk waktu berbuka ni. Nanti ana nak solat jemaah di masjid pula. Assalamualaikum.

Hati: Wa'alaikumussalam.

Hati duduk membatukan diri di meja makan sambil memerhatikan pemberian daripada jiran-jirannya sebentar tadi. Hati mula dirundum rasa gelisah. Dia tak pasti perlukah dia menerima kesemua pemberian tersebut. Dia melihat ke arah jam di dinding dan kemudian memandang pula ke arah pintu. Lagaknya seperti menunggu seseorang. Tak lama kemudian terdengar suara seseorang memberi salam.

Akal: Wah banyaknya juadah berbuka hari ni. Sempat pula kau siapkan semua ni.

Hati: Bukan aku yang buat tapi tu semua jiran-jiran kita yang bagi. Mula-mula mata datang bawa gambar- gambar cantik ni, kemudian mulut, telinga, tangan dan kaki pula baru je balik tadi.

Akal: Ooo begitu. Habis tu kenapa muka kau ni macam ayam berak kapur je aku tengok? Kalau ye pun lapar, sabar la sikit. Tak sampai 20 minit je lagi nak berbuka puasa. Bukankah puasa itu mampu memupuk kesabaran dalam diri di samping melahirkan rasa syukur kepada Allah swt atas segala nikmat kurniaan-Nya selama kita menghuni dunia serba pinjaman ini? Kita baru diuji rasa lapar tak sampai sehari dah mengeluh. Di luar sana masih ramai yang hidup kelaparan, kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang sepanjang hayat mereka.

Hati: Ni bukan sebab lapar la akal. InsyaALlah, aku masih mampu mengawal nafsu yang kadang- kadang menggoda diri di sebalik kenikmatan dan kelazatan juadah yang beraneka di bulan puasa ni. Aku cuma bingung memikirkan semua pemberian ni. Aku tak tahu patut ke aku terima semua ni? Ha! Kau kan `filter' yang berteknologi tinggi. Cuba kau tengok- tengokkan, apa saja yang aku boleh terima dan tak.

Akal: Pandailah kau nak bodek. Habis kau tu apa pula? Mitsubishi berkuasa kuda?

Hati: Aku ni `asistant' kau je. Dalam bab- bab macamni kadang- kadang aku tak boleh menilai dengan baik. Aku bimbang kalau terlalu diturutkan kehendak diri. Jika aku bertindak dengan emosi, kau pula bertindak dengan rasional. Jadi, aku perlukan seorang yang pakar macam kau untuk bantu aku dalam masalah seperti ini. Tolonglah, Akal.

Akal: Pandailah kau nak bodek aku. Meh sini aku tengok.

Akal meneliti satu persatu pemberian yang ditunjukkan oleh Hati. Kadang- kadang dia tersenyum lebar dan ada ketika keningnya berkerut seribu tanpa mengeluarkan sepatah kata. Hati hanya memerhatikan gelagat teman serumahnya itu dengan rasa ingin tahu.

Akal: Ermm. Ada yang boleh kau terima dan ada juga yang harus kau tolak. Haish budak- budak ni, bulan- bulan puasa pun nak buat perangai. Seharusnya dalam bulan mulia ni, nasfu dikekang sehabis-habisnya. Puasa itu bukan sahaja menahan diri daripada lapar dan dahaga dan perkara- perkara yang membatalkannya tetapi lebih daripada itu. Bulan- bulan puasa inilah digunakan sebaik mungkin untuk memuhasabah diri dan menyesali segala dosa- dosa lampau dengan memohon keampunan kepada Allah SWT.

Hati: Tapi kan Akal, macammana kau tahu?

Akal: Kau juga yang cakap aku `filter' berteknologi tinggi kan? Takda la aku bergurau ja. Kembali kepada fitrah kita, wahai hati. Segala sesuatu yang bertentangan tak perlu kita terima. Segala benda, perkara dan perbuatan di dunia ini akan sentiasa mendatangi kita sama ada baik atau buruk. Namun, sesuai dengan kelebihan yang ada pada diri, kita harus membuat pertimbangan dengan bijak agar tidak memilih pemberian yang salah. Kita ada dua sumber yang akan membantu kita dalam membezakan antara yang haq dan yang batil dan Rasulullah SAW menjanjikan bahawa kita tidak akan selamanya sesat sekiranya kita berpegang kepada dua bekalan berharga ini iaitu Al-Quran dan As- Sunnah.

Hati: Kau takpa la Akal, sebagai kau memang bijak. Aku ni apa tiada apa. Kaulah sumber rujukan aku bila dalam keadaan terdesak begini.

Akal: Kau silap Hati. Kau juga sebenarnya mampu membuat pertimbangan. Jangan lupa, kau punya pandangan mata hati yang mampu menembusi hijab sehingga kau mampu merasakan sesuatu yang benar- benar baik dan buruk. Cuma, kau perlu sentiasa memelihara diri kau agar tidak dicemari kabus dosa sehingga mata hati kau menjadi kelam ditutupi hina. Setelah itu, tiada lagi kedengaran bisikan kebaikan yang mampu menuntun diri kau membuat pilihan yang tepat.

"Bahwa dalam diri setiap manusia terdapat segumpal daging, apabila ia baik maka baik pula seluruh tubuhnya, dan apabila ia itu rusak maka rusak pula seluruh tubuhnya. Gumpalan daging itu adalah hati." [HR Imam Al-Bukhari]

Hati: Apa yang harus aku buat?

Akal: Jangan sombong! Mahu amalkan yang menyenangkan diri sahaja tapi yang sebaliknya diabaikan. Hiduplah selayaknya sebagai seorang hamba dan bukan sebagai seorang tuan. Merendah diri di hadapan Allah SWT dan patuh atas setiap perintah-Nya serta menjauhi segala larangan-Nya. Ingat, kepatuhan kita hanya kepada Pencipta kita, iaitu Allah Yang Satu. Jangan kita tunduk kepada hawa nafsu dan bisikan syaitan yang sentiasa ingin menyesatkan. Jangan jadikan kekurangan pada diri kita sebagai alasan untuk membiarkan diri kita terus selesa dalam zon kejahilan sedangkan ruang untuk memperbaiki diri dan membina kejayaan sentiasa terbuka luas untuk kita. Ingatlah, kehidupan kita ini merupakan sebuah amanah besar daripada Allah SWT buat kita hamba-Nya. Segalanya akan dihitung dan ditimbal di sana tanpa ada yang terkecuali. Itu pasti! Gagal dan berjayanya kita menjadi hamba yang sebenar-benar hamba di sisi Pencipta terletak pada diri kita sendiri. Usah bertangguh untuk melakukan perubahan kerana ajal dan maut itu bukan percaturan kita. Jika dipanggil sebelum sempat kita bertindak, maka kita menjadi golongan yang rugi.

Hati: Harap- harap aku boleh jadi `filter' berteknologi tinggi terbaik dari ladang macam kau. Kau doakan aku ya. Eh dah masuk waktu untuk berbuka puasa. Akal, cepat baca doa.

Akal: Aku lagi? Yela. Oh, jangan lupa berpesan- pesan juga kepada jiran-jiran kita yang lain tu ya? Terutama sekali jiran- jiran terdekat kita yang tersayang tu. InsyaALlah, dengan izin-Nya siapa tahu kita boleh masuk syurga berjemaah tanpa ada yang tersangkut di hari pengadilan nanti. Sempena bulan Ramadhan yang mulia ini, jadikan permulaan awal untuk menggilap iman sehingga cahayanya sentiasa terang setiap masa walaupun bukan hanya dalam bulan Ramadhan.

Hati: InsyaALlah. "Sampaikanlah olehmu walaupun sepotong ayat". Jom makan! Selamat berbuka puasa dalam keberkatan Allah SWT! Amin.

Allahu'alam.


read more

Salam Ta'aruf

My photo
Kebahagiaan Itu Adalah Sebuah Ketenangan dan Ketenangan Itu Adalah dengan Mengingati Tuhan..

Masa Itu Emas

Ukhwah Fillah

Followers

Hiburan Mendidik Jiwa

Jejak Kembara

 

Hadis Nabi

Doaku untuk-Mu

Bismillah..

Ya ALlah

Jika aku jatuh cinta
Cintakanlah aku pada seseorang
Yang melabuhkan cintanya pada-Mu
Agar bertambah kekuatanku untuk mencintai-Mu

Ya Muhaimin
Jika aku jatuh hati
Izinkanlah aku menyentuh hati seseorang
Yang hatinya tertaut pada-Mu
Agat tidak terjatuh aku dalam jurang cinta nafsu

Ya Rabbana
Jika aku jatuh hati
Jagalah hatiku padanya
Agar tidak berpaling daripada hati-Mu

Ya Rabbul Izzati
Jika aku rindu
Rindukanlah aku pada seseorang
Yang merindui syahid di jalan-Mu

Ya ALlah
Jika aku menikmati cinta kekasih-Mu
Janganlah kenikmatan itu melebihi kenikmatan
Indahnya bermunajat di sepertiga malam terakhir-Mu

Ya ALlah
Jika aku jatuh hati pada kekasih-Mu
Jangan biarkan aku tertatih dan terjatuh
Dalam perjalanan panjang menyeru manusia kepada-Mu

Ya ALlah
Jika Kau halalkan aku merindui kekasih-Mu
Jangan biarkan aku melampaui batas
Sehingga melupakan aku pada cinta hakiki
Dan rindu abadi hanya kepada-Mu

Aminn..Ya Rabbal 'Alaminn..

Kalam Allah

Copyright © Lakaran Pena Kehidupan | Powered by Blogger | Template by Blog Go Blog