Saturday, December 26, 2009

:. Pengalaman Di Dalam Bas .: 1 kritikan

Saturday, December 26, 2009 |
Bismillah..

Semalam, saya bersama embak maya dan dua orang housemate saya iaitu Sarah dan Aisyah pergi ke Taman Mini Indonesia. Sapanjang seminggu cuti ini, asyik terperap saja dalam rumah jadi kami mengambil kesempatan untuk keluar bersiar-siar mengambil angin. Tapi saya bukan ingin bercerita kisah kami di sana cuma ingin kongsikan pengalaman buat renungan kita bersama.

Awal-awal pagi kami dah bertolak ke CL untuk ambil bas di sana. Alhamdulillah semalam cuti krismas jadi bas tidak penuh dengan orang. Saya dan embak Maya duduk di kerusi paling hadapan dan di belakang ada Aisyah bersama Sarah. Sebelum bas bergerak, ramai penjaja yang naik ke atas menjual pelbagai barang; makanan, alat perhiasan, alat tulis dsbnya.

Tiba-tiba ada seorang pakcik berusia dalam lingkungan 40-an berdiri di sebelah embak maya sambil menghulurkan bungkusan plastik. Dia adalah 'pengamen' (pengemis) Fenomena ini biasa di sini. Bukan sahaja di dalam bas malah hampir di semua tempat pasti akan terlihat kelibat mereka. Jika pertama kali di sini, mungkin perkara ini agak aneh tapi bagi kami yang hampir tiga tahun di sini ianya sudah tidak asing lagi.

Tapi semalam saya merasakan seperti pertama kali sampai ke sini apabila pakcik yang bermuka manis tadi tiba-tiba menempikkan suaranya kepada seseorang di belakang kerana tidak mahu memberi derma. Fuhh berderau darah! Mujur embak Maya berada di sebelah jadi kuranglah sikit rasa takut ni. Mahu tidak mahu, dalam situasi tersebut mereka harus bagi juga barulah orang itu akan berhenti memaki hamun. Hanya Allah swt sahaja yang Mengetahui status wang hasil paksaan tersebut.

Kemudian bas pun bergerak. Pakcik tadi dah turun. Lega rasanya. Tapi kelegaan saya hanya sementara setelah bas berhenti di suatu perhentian. Kedengaran suara seorang laki-laki menyanyi sambil bertepuk tangan. Setelah menyanyi dua buah lagu, dia akan pergi ke setiap tempat duduk penumpang lalu menghulurkan bungkusan untuk meminta 'belas ihsan'. Kemudian akan turun di perhentian seterusnya. Saya tidak pula tahu kalau naik bas 'ekspress' seperti itu harus juga berhadapan dengan situasi ini. Ingatkan hanya berlaku pada bas kopaja sahaja jadi aku tidak pula sediakan wang recehan (wang kecil). Mujur embak Maya selalu bawa wang recehan dalam begnya lalu diberikan sedikit wang itu pada Sarah dan Aisyah di belakang untuk diberikan kepada pengamen yang naik.

Sepanjang 20 minit dalam bas, ada kot lebih kurang lima orang pengamen yang turun naik dari bas dengan persembahan masing- masing. Bukan sahaja lelaki, perempuan juga ada. Tapi pengamen yang terakhir benar-benar menyentuh hati kami. Dia bukan menyanyi tapi menyampaikan cerita diiringi siulan seruling. Kisahnya menceritakan seorang anak desa yang lahir daripada keluarga susah. Setiap pagi, dia sering bertenggek di pagar sebuah sekolah sambil melihat anak-anak lain yang sedang belajar di dalam kelas. Keinginannya untuk ke sekolah sering diluahkan kepada abangnya untuk disampaikan kepada ayahnya tetapi apakan daya keluarganya yang sudah sebegitu susah masakan mampu menyekolahkannya sedangkan makan juga mereka perlu berkira-kira.

Kisahnya itu bukanlah terlalu asing bagi kami malah lebih tragis daripada itu juga kami pernah lihat. Bagaimanakah rasanya jika seharian kita perlu menghadap sampah yang bertimbun-timbun? Itulah suasana yang kami lihat sepanjang perjalanan kami ke kampus. Beberapa buah keluarga mendiami pondok usang yang sekelilingnya adalah sampah. Anak -anak tanpa pakaian berlari berkeliaran bermain-main tanpa perasaan. Mungkin anak itu belum mengerti keperitan yang dialami oleh ibu bapa mereka dan mungkin juga kehidupan yang bakal mereka lalui kelak. Mereka belum merasa kesenangan melainkan merasakan itulah kesenangan yang sungguh menyenangkan bagi mereka yang belum mengenal erti susah dan senang.

Benarlah, dengan melihat kesusahan orang lain mampu mendidik jiwa ini menghargai dan mensyukuri nikmat yang Allah swt kurniakan sejak kita celik mata sehingga kita menutup mata. Melihat mereka yang tidak berputus asa dan sanggup melakukan apa sahaja untuk mencari sesuap nasi. Mereka letakkan ke tepi perasaan malu dengan menghiburkan orang ramai untuk meraih simpati. Cuma kadang- kadang kesal hadir dalam diri apabila melihat mereka menggunakan cara paksaan untuk mendapatkan apa yang mereka miliki. Inilah yang dikatakan; "Apabila berada dalam keadaan terdesak orang sanggup lakukan apa sahaja walaupun terpaksa membunuh" Na'uzubillah min zaliik..

Mungkin inilah salah satu hikmahnya saya ditempatkan di sini. Jika ditanya dua tahun lapan bulan yang lepas, adakah Indonesia ini adalah pilihan saya? Sudah tentu jawapan yang akan saya berikan adalah tidak!! Tapi siapa yang mampu melawan ketentuan daripada Allah swt? Alhamdulillah, saya menjumpai 'sesuatu' di sini yang mungkin saya tidak temui di tempat lain malahan di kampung halaman saya sendiri. Sebuah pemberian yang amat bernilai yang tak mampu dibeli dengan wang ringgit. Alhamdulillah. Benarlah, setiap kejadian itu tiada yang sia-sia.

Pernah terdengar pesan seorang Ustaz pada suatu ceramah agama. Beliau mengatakan ; Allah swt menciptakan manusia itu dengan pelbagai kejadian. Ada yang miskin dan ada yang kaya. Allah swt tidak menjadikan yang kaya untuk bermegah- megah dan tidak pula menjadikan yang miskin untuk terus dihina. Tetapi antara hikmahnya adalah untuk melahirkan rasa kasih dan sayang antara keduanya. Di mana si kaya memberi kepada si miskin untuk turut bersama- sama nikmat Allah swt. Ianya juga sebagai tanda kesyukuran kepada Allah swt. Tetapi si miskin tidak harus meratapi kesusahan yang dihadapi tetapi terus berusaha mencari rezeki untuk meneruskan kelangsungan hidup. Biarlah dirimu hina pada pandangan manusia tetapi jangan pula hina pada pandangan Allah swt. Jangan jadikan kesusahan sebagai alasan untuk melakukan perkara-perkara yang di larang oleh syarak. Yakinlah dengan janji Allah swt tanpa ragu ^_^

”Apakah manusia mengira bahwa mereka akan dibiarkan mengatakan, `Kami telah beriman,’ sedangkan mereka tidak diuji lagi?” [Al-Ankabuut: 2]

Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui atas segala sesuatu.

Allahu'alam..

read more

Sunday, December 13, 2009

:. Sepatutnya .: 0 kritikan

Sunday, December 13, 2009 |
Bismillah..


“Saya susah hati,” kata Nasir.

“Kenapa?” saya menoleh ke arahnya.

“Bulan depan saya akan menyertai ‘kelab ustaz’!” ujar beliau.

Kelab Suami Doktor ke?” saya bertanya.

“Ya. Tak lama lagi Insya Allah,” kata Nasir lagi.

“Alhamdulillah. Welcome to the club!” saya teruja dan menumpang gembira.

Di kalangan rakan yang mengenali, istilah ‘Kelab Suami Doktor’ itu sinonim dengan saya. Hingga ada yang secara lurus bendul mahu mendaftarkan diri dengan organisasi yang hakikatnya hanya gurauan sesama kami sahaja.

Saya menumpang kereta Nasir untuk pulang daripada menjalankan sebuah program latihan siswazah. Perjalanan sejam menuju ibu kota tidak kami sia-siakan kerana walaupun sama-sama tinggal di Kuala Lumpur, peluang berjumpa dan berbual bukan selalu diperolehi.

Satu bentuk usrah barangkali.

“Mengapa susah hati?” saya teringat balik kepada soalan asal Nasir.

“Macam-macam cerita yang saya dengar. Trauma barangkali. Malah sekarang ini pun sudah ketara sibuknya bakal isteri saya,” cerita beliau.

“Oh begitu. Jurutera atau doktor, sibuknya lebih kurang sahaja” saya cuba mengendurkan persepsi Nasir.

“Selain apa yang ada dalam buku Aku Terima Nikahnya dan Bercinta Sampai ke Syurga, apa yang boleh ustaz nasihatkan saya? Nasihat ringkas dan padat untuk saya pegang” pinta Nasir.

TAHAP TOLERANSI

“Hmm… saya menimbang-nimbang permasalahan yang sampai ke pengetahuan. Rasanya, kebanyakan kita mempunyai tahap toleransi sekadar lima tahun sahaja. Selepas lima tahun, mula berantakan, bermasam muka, tak bertegur sapa, malah membelakangkan semua ilmu hingga tergamak bermain kayu tiga,” saya memulakan kisah.

“Berat tu, ustaz. Apa penyelesaiannya?” Nasir kelihatan sedikit resah.

“Tidak semudah itu untuk memberi penyelesaian. Tetapi sekurang-kurangnya ustaz boleh cadangkan satu petua penting” saya menambah.

“Apa dia?” beliau bertanya.

Kurangkan SEPATUTNYA di dalam hidup ini!” saya cuba membuat rumusan yang mudah saya dan Nasir ingat tatkala melayari kehidupan berumahtangga.

Mungkin pelik bunyinya.

Memang SEPATUTNYA adalah sesuatu yang diperlukan untuk kita menetapkan matlamat, tetapi ia juga boleh menjadi racun yang memusnahkan kehidupan berumahtangga tatkala SEPATUTNYA menjadi sesuatu yang dipertahankan melebihi APA YANG PATUT.

“Sepatutnya, awak sebagai isteri kenalah…” ayat ini boleh dituturkan oleh sang suami dari pagi ke pagi.

“Awak sebagai suami, sepatutnya…” balas si isteri pula.

Sukar untuk sebuah rumahtangga berdiri dengan aman apabila terlalu banyak SEPATUTNYA yang diperjuangkan. Jika di dalam Bahasa Inggeris, SEPATUTNYA itu adalah sebuah EXPECTATION. Kita meletakkan banyak jangkaan dan jangkaan itulah yang kemudiannya berubah menjadi kekecewaan.

PEMIKIRAN IDEAL

Semasa mula berumahtangga, dengan pemikiran yang ideal tentang Keluarga Muslim, kita merancang pelbagai benda.

Misalnya, si isteri bercita-cita untuk si suami menjadi Imam Mithali dalam sebuah rumahtangga. Mengimamkan solat, memberi tazkirah dan membacakan hadith kepadanya setiap hari dan pelbagai impian yang indah lagi sempurna.

Bukan sahaja dalam soal ibadah dan amalan Islam di dalam rumahtangga, si isteri juga mahu suaminya menjadi seorang menantu yang diidam-idamkan oleh ibu bapanya. Menantu yang boleh diharap, yang pandai mengambil hati mertua dan terpercik pujian kepadanya kerana bijak menemukan calon suami yang begitu.

Itulah impiannya.

Impian yang kemudiannya mula memberanakkan pelbagai SEPATUTNYA di sepanjang pelayaran rumahtangga.

Suami pun sama juga.

Beliau mengidamkan sebuah kehidupan yang teratur, tidak perlu lagi bersusah payah ke dapur seperti di alam bujang yang serba kurang. Isteri dikahwini dengan 1001 harapan agar dapat berperanan dengan cemerlang, malah bayangan ibunya sendiri yang bermujahadah membesarkan beliau dan seisi keluarga menjadi kayu ukur untuk menilai pencapaian isteri yang dinikahinya itu.

Harapan.

Tempat kelahiran banyak SEPATUTNYA apabila satu demi satu harapan itu tidak kesampaian.

“Tapi ustaz, bukankah SEPATUTNYA itu perlu supaya kita boleh muhasabah tahap masing-masing?” soal Nasir kepada saya.

“Betul. Namun jika kita bercakap tentang soal survival rumahtangga, SEPATUTNYA itu juga memerlukan muhasabah yang khusus. Periksa balik dari semasa ke semasa, mungkin ada beberapa SEPATUTNYA yang perlu kita uzurkan. Terutamanya suami” saya menambah.

“Misalnya?” Nasir tidak puas hati.

KISAH TELADAN

“Macam yang kamu katakan tadi, kamu mengharapkan agar isteri kamu menjadi menantu yang baik kepada ibu bapa kamu. Namun selepas lima tahun berumahtangga, isteri kamu masih tidak mesra dengan mertuanya. Tetapi dia masih seorang isteri yang baik. Bincangkanlah hal ini dengan isteri. Ruang untuk beliau membuat perubahan, memerlukan kamu untuk mengundurkan beberapa SEPATUTNYA. Kalau kamu masih mahu mempertahankan expectation di awal perkahwinan dahulu, takut-takut yang dikejar tidak dapat ketika yang dikendong berciciran. Reality check, kata orang kampung saya!” saya menyambung lagi.

“Hmm. Takut saya. Ustaz sendiri masa baru-baru kahwin macam mana ustaz amalkan bab SEPATUTNYA ini?” soal beliau.

“Di awal perkahwinan, kami tinggal berjauhan. Saya di Belfast dan isteri di Galway, kemudiannya Letterkenny. SEPATUTNYA selepas kahwin kami dapat bersama sepuas-puasnya, tetapi keadaan tidak mengizinkan. Malah selepas mendapat tahu yang isteri mengandung, SEPATUTNYA saya yang turun ke Galway atau naik ke Letterkenny melawat isteri. Tetapi hujung minggu adalah kemuncak kesibukan saya. Maka Ummu Saif yang turun naik bas pergi ke Belfast dalam keadaan sarat mengandung. Apa nak buat?” saya membuka cerita.

“Tahan ke?” Nasir seakan-akan tidak yakin.

“Kami berkahwin semasa usia lebih kurang kamu dan bakal isteri. Tidak sampai seminggu selepas akad nikah, Ummu Saif sudah memulakan rotation beliau sebagai doktor junior yang menjalani tempoh housemanship yang sangat menekan. Kerja separuh mati, balik rumah sudah tidak punya sisa tenaga untuk buat apa-apa. Sebagai suami, saya ada banyak SEPATUTNYA yang boleh ditimbulkan. Tetapi menyedari akan realiti, banyak SEPATUTNYA yang saya buang” saya mengimbau kisah lama.

“Misalnya?” soal Nasir.

“Saya kemas rumah, saya masak dan bawa makanan ke hospital. Dan jika dua-dua sudah terlalu letih untuk balik, kami bermalam sahaja di Doctor Rest yang sempit itu. Esok paginya saya bawa bekas-bekas makanan kotor itu balik ke rumah untuk dibasuh. Cuba untuk bahagia dengan keterbatasan yang ada,” saya berkongsi kisah dengan bakal suami doktor yang seorang ini.

“Sampai bila proses membuang SEPATUTNYA itu perlu dibuat?” Nasir cemas.

“Sampai MATI. Sampai terkambus di liang lahad!” saya menjawab ringkas.

“Suami sahaja?” Nasir gelisah.

PERAWAN MANJA

“Kalau perempuan daripada zaman batu sampai zaman hutan batu mampu bergadai nyawa beranak, beranak dan beranak, mengapa lelaki hari ini yang sudah tidak mengangkat pedang di medan jihad tidak mampu untuk BERJIHAD menjaga rumahtangga? Manja sangatkah perawan akhir zaman sekarang?” saya cuba menyuntik semangat.

“Beratnya jadi suami. Mesti mampu sabar sampai ke mati!” ulas Nasir. Pendek.

“Sabar itu di permulaan sahaja. Insya Allah ia akan naik taraf menjadi redha” saya menokok.

“Susah saya nak bayangkan macam mana suami sabar dan redha sampai ke kubur” Nasir jujur memberitahu.

*********

“Inikah maksudnya ERTI HIDUP PADA MEMBERI bagi seorang suami, ustaz?” tanya Nasir.

“Ya. Ia bukan slogan. Tetapi sumber kekuatan diri,” saya menyetujui beliau.

“Dari manakah kekuatan itu mahu dicari?” Nasir melangsaikan pertanyaan.

Kita hidup dalam dunia yang penuh dengan benda yang TIDAK PATUT. Jadi berpada-padalah pada melayan SEPATUTNYA yang banyak hinggap ke diri. Hidup memberi itu mustahil boleh dibuat-buat, sehinggalah kita berjaya untuk benar-benar percaya, bahawa kita hanyalah HAMBA kepada-Nya. Hamba tidak layak meminta-minta dan meletakkan pelbagai standard atau jangkaan hidup. Fokuskan kepada peranan, dan syukuri setiap yang diterima, biar sekecil mana pun ia” saya selesai berkongsi pandangan.

“Ustaz rasa saya mampu?” Nasir menoleh ke arah saya.

“Berikan ilmu kepada akal supaya tahu. Suntikkan iman ke hati supaya mahu. Berjihadlah menundukkan nafsu supaya mampu. Insya Allah!” saya tersenyum.


p/s: Sengaja saya kongsikan artikel yang diambil dari iLuvislam.com ini untuk muhasabah diri dan kita semua terutama mereka yang bakal atau bercita-cita ingin bersuami/ isterikan seorang doktor. Mudah-mudahan bermanfaat, InsyaAllah.


Jazakallah..

read more

Salam Ta'aruf

My photo
Kebahagiaan Itu Adalah Sebuah Ketenangan dan Ketenangan Itu Adalah dengan Mengingati Tuhan..

Masa Itu Emas

Ukhwah Fillah

Followers

Hiburan Mendidik Jiwa

Jejak Kembara

 

Hadis Nabi

Doaku untuk-Mu

Bismillah..

Ya ALlah

Jika aku jatuh cinta
Cintakanlah aku pada seseorang
Yang melabuhkan cintanya pada-Mu
Agar bertambah kekuatanku untuk mencintai-Mu

Ya Muhaimin
Jika aku jatuh hati
Izinkanlah aku menyentuh hati seseorang
Yang hatinya tertaut pada-Mu
Agat tidak terjatuh aku dalam jurang cinta nafsu

Ya Rabbana
Jika aku jatuh hati
Jagalah hatiku padanya
Agar tidak berpaling daripada hati-Mu

Ya Rabbul Izzati
Jika aku rindu
Rindukanlah aku pada seseorang
Yang merindui syahid di jalan-Mu

Ya ALlah
Jika aku menikmati cinta kekasih-Mu
Janganlah kenikmatan itu melebihi kenikmatan
Indahnya bermunajat di sepertiga malam terakhir-Mu

Ya ALlah
Jika aku jatuh hati pada kekasih-Mu
Jangan biarkan aku tertatih dan terjatuh
Dalam perjalanan panjang menyeru manusia kepada-Mu

Ya ALlah
Jika Kau halalkan aku merindui kekasih-Mu
Jangan biarkan aku melampaui batas
Sehingga melupakan aku pada cinta hakiki
Dan rindu abadi hanya kepada-Mu

Aminn..Ya Rabbal 'Alaminn..

Kalam Allah

Copyright © Lakaran Pena Kehidupan | Powered by Blogger | Template by Blog Go Blog