Wednesday, October 28, 2009

:. Bukan Sekadar Kata .: 0 kritikan

Wednesday, October 28, 2009 |
Bismillah..

Sudah lama rasanya blog ini dibiarkan berabuk. Sejak-sejak ini ketandusan idea pula untuk melakarkan tarian pena kehidupan. Walaupun penulis tahu tiada siapa yang berminat untuk berkunjung ke teratak buruknya ini, namun penulis tetap mahu melakar keindahan dan kedukaan dengan pena kehidupan sebagai perkongsian dalam kehidupannya sendiri. Oleh itu,penulis menyusun sepuluh jika terdapat sebarang kekurangan dalam penyampai hati ini.

Saat kita melihat orang lain berduka lara, mudahnya kita menghampiri dan menghadiahkan kata-kata semangat agar mereka yang sedang bersedih kembali tersenyum. Kita akan berusaha apa sahaja yang termampu untuk menenangkan mereka dan membuatkan mereka kembali bersemangat untuk meneruskan kehidupan. Apabila mereka kembali pulih, kita adalah orang paling berbahagia. Ini adalah atas dasar kasih sayang yang kuat. Apabila orang yang kita sayang sedang bersedih, kita tidak mampu untuk mendiamkan diri lalu kita berusaha sedaya upaya untuk mengurangkan kesedihannya itu.

Namun, apabila diri kita berada di tempat mereka, belum tentu nasihat yang kita berikan itu mampu untuk memulihkan semangat yang kian pudar. Benarlah, berat mata yang memandang berat lagi bahu yang memikul. Kadang-kadang kita merasa sudah tidak mampu berdiri walaupun pelbagai kata-kata semangat dihadiahkan oleh orang-orang di sekeliling kita, cuma yang kita mampu berharap adalah agar kekuatan daripada-Nya terus hadir memangku diri saat terasa rebah tidak bermaya.

Walaupun kata-kata itu tidak mampu mengubah yang terjadi, tetapi sekurang-kurangnya ianya mampu membantu diri menjadi lebih tenang. Terkadang, kata-kata itu hadir bersama kasih sayang pada yang memahami dan cuba untuk mengerti diri kita yang membuatkan kita menjadi lebih tenang dan tenteram. Terkadang juga, kita hanya inginkan tempat untuk meluahkan rasa, agar dada ini menjadi lebih lapang. Walaupun kita tidak meminta untuk dimengerti apatah lagi menangis bersama kita, tapi keikhlasan yang dihulurkan mampu mengurangkan rasa sakit yang ditanggung.

Namun, kita tidak perlu berharap untuk mereka mendengar tangisan ini. Bukan kerana ego tapi, meminta biarlah pada yang sudi dan janganlah berharap pada yang tidak pernah ingin mengerti. Biarlah mereka hadir dengan keikhlasan seorang teman yang kuat cinta ukhwahnya, yang mampu merasa kesakitan yang dialami temannya serta tidak betah hanya mendiamkan diri sedangkan temannya sendirian menanggung kesedihan.

Mengadulah pada Yang Satu, yang sentiasa ada untuk menjadi Pendengar yang setia saat kita bersedih mahupun bergembira. Dia yang Menciptakan segalanya termasuklah ujian-ujian yang kita lalui, jadi mintalah kekuatan dan petunjuk daripada-Nya agar kita tidak sesat dalam perjalanan. Terkadang, Dia terlalu merindukan rintihan kita hamba-hamba-Nya, jadi diberikan pelbagai ujian sebagai tarbiyah untuk kita menjadi lebih tabah dan berkeyakinan untuk menjalani perjalanan yang penuh liku di dunia ini. Walau berat atau ringan ujian itu, kita adalah insan terpilih yang mampu untuk mengharunginya, insyaALlah. Walaupun kita tidak nampak Dia, tetapi yakinlah dengan hati, Dia sentiasa ada Memerhatikan kita.

"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdo'a): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami, ampunilah kami, dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir."

Ingatlah juga, ujian ALlah swt itu tidak hanya datang dalam keadaan kita merasa senang, terkadang teguran daripada ALlah swt datang dengan kesenangan yang menyenangkan hati. Oleh itu, walaupun dalam keadaan senang atau susah, tetaplah ingat akan Dia, Tuhan Yang Maha Esa. Bersyukurlah walau apapun dikurniakan oleh-Nya sama ada kebahagiaan ataupun musibah kerana sesungguhnya Dia lebih Mengetahui.

"Dan Kami datangkan kepadamu kesusahan dan kesenangan sebagai ujian “ [Al- An biyaa’: 35]

Sabar dan ikhlas.

Allahu'alam..

read more

Monday, October 19, 2009

:. Layakkah Aku? .: 0 kritikan

Monday, October 19, 2009 |
Bismillah..

Dari semalam, aku bingung dengan sebuah persoalan yang terlitas dalam kepala ini sampai tak boleh nak lelapkan mata. Aku cuba menghindar untuk terus memikirkannya kerana aku bimbang perasaan lama akan kembali. Tapi semakin aku menolak untuk berfikir, semakin kuat pula tarikannya mengajak aku bermain dengan teka-teki yang tak pernah terjawab. Ya ALlah, apakah petanda/ pengajaran yang cuba Kau selitkan melalui persoalan ini ya ALlah.

Aku menghitung hari- hari selama aku duduk di kerusi itu. Kerusi yang memberi seribu satu kenangan pahit dan manis yang pastinya takkan aku lupakan sampai akhir hayat. Melaluinya aku kutip pelbagai ilmu dan segala pengajaran. Dengannya, semakin hari aku semakin dewasa dengan ilmu. Dengannya, terisi ilmu di dada buat bekalan di penghujung destinasi sana. ALhamdulillah sebuah nikmat yang tidak terhingga.

Tapi apabila memikirkan kekurangan diri ini, layakkah aku duduk sebaris dengan ilmuwan-ilmuwan hebat seperti mereka? Kehadiran mereka penyeri ruangan itu tetapi kehadiran aku bagaikan tidak memberi apa-apa makna. Sama ada hadir atau tidak aku di sana, tidak pernah merubah keadaan. Aku duduk di kerusi itu tapi aku tidak menyumbang apa-apa, hanya bertindak sebagai pemerhati. Sekadar mampu melihat mereka rancak bertukar kisah sedang aku hanya mampu melihat dan menerima tempias kisah itu buat pengajaran untuk diri ini.

Aku tidak mahu menghitung sumbangan yang aku berikan kerana sememangnya tidak ada yang aku sumbangkan untuk menyerikan ruangan itu malah akulah yang lebih banyak menerima sumbangan-sumbangan mereka. Walaupun ada yang menegur, petanda mereka menyedari kehadiran aku di sana tetapi itu tidak dapat mengurangkan rasa bersalah dalam diri ini kerana tidak mampu menghulurkan tangan, memberi pertolongan membantu teman-teman menjadi pembimbing, meneruskan perjalanan.

Ya ALlah, ampunkanlah hamba-Mu yang penuh kekhilafan ini. maafkanlah wahai teman-teman kerana aku tidak mampu menjadi seperti kalian, para ilmuan. Aku tidak mampu untuk meneruskan perjuangan bersama kalian. Kerusi itu tidak layak aku duduki dengan keadaan diriku yang serba kekurangan ini. Kerusi itu begitu berharga dan biarlah yang benar-benar layak untuk mendudukinya.

Teman, janganlah dikau gusar ketika ketiadaan diri ini. Peganglah pada matlamat kita, berjuang untuk ummah, mengajak kepada kebenaran. Kalian layak berada di kerusi itu untuk meneruskan jihad ini agar generasi seterusnya celik hati dan minda. Teman, pernah dulu diri ini berjanji untuk tetap setia bersama kalian, berjuang bersama sehingga ke akhir hayat, tapi maafkanlah diri ini kerana terpaksa berhenti di sini. Bukan bererti mengalah apatah lagi berputus asa, cuma aku tidak mahu keberadaan aku mencacatkan barisan.

Teman, maafkanlah sekali lagi atas pengunduran ini. Ku harap kalian menerimanya dengan hati yang terbuka. Aku tidak pernah lelah untuk memelihara cinta ini, malah aku lakukan semua ini demi pertahankan kemurniaan cinta ini. Kalianlah penyeri taman-taman cinta ini, menjadi inspirasi bunga-bunga dan kumbang yang berterbangan. Walau aku tidak lagi duduk di kerusi itu, tapi aku akan setia berdiri memerhati kalian yang pernah menjadi sebahagian dari diri ini.

Terima kasih atas segalanya dan halalkanlah segala ilmu yang pernah ku kutip daripada kalian serta kasih sayang yang pernah dicurahkan. Maafkanlah segala salah dan silap, andai diri ini pernah menabur duri di sepanjang perjalanan kalian. AKu pergi membawa tangis tetapi bukan kerana aku bersedih tetapi tangis aku petanda bahagia, mengurangkan beban kepada sahabat-sahabat yang sentiasa dalam doa rabithah. Doaku akan sentiasa bersama perjuangan-perjuangan kalian.

Wassalam..

read more

Sunday, October 4, 2009

:. Kanan dan Kiri .: 0 kritikan

Sunday, October 4, 2009 |

Bismillah..

Sejak lahir , sepasang kembar yang seorang diberi nama kanan dan seorang lagi diberi nama kiri sangat rapat dan tidak pernah berenggang walau ke mana sahaja mereka pergi. Di mana ada kanan di situ jugalah ada si kiri sehingga kadang-kadang ada yang cemburu melihat keintiman mereka berdua yang amat sukar dipisahkan.

Suatu hari, kiri ternampak kanan memberi sesuatu kepada orang lain. Timbul tanda tanya dalam dirinya ekoran daripada sikap si kanan. Dia hanya mendiamkan diri dan menunggu jikalau kanan akan memberitahu kepadanya akan perkara yang baru dilihatnya sebentar tadi. Namun dia hampa apabila kanan berperilaku seperti biasa seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku.

Oleh kerana resah dilanda perasaan tanda tanya dan mungkin terasa dipinggirkan, si kiri akhirnya bertanya kepada si kanan mengenai hal tersebut. Kanan agak terkejut dengan pertanyaan si kiri kerana pada kiraan si kanan, si kiri tidak nampak akan kejadian tersebut namun sebaliknya yang berlaku. Memang mereka selalu bersama walau ke mana jua mereka pergi tetapi mereka tidak pernah jalan seiring. Jika seorang di hadapan, seorang lagi pasti di belakang dan mereka bergilir-gilir kedudukan saat berjalan.

“Kiri, saya minta maaf jika awak terasa dengan tindakan saya tersebut tapi saya tidak berniat untuk sembunyikan apa sahaja daripada awak, kiri. Sebelum ni kita pernah menerima dan memberi secara bersama-sama. Begitu juga saat antara salah seorang daripada kita sakit, seorang lagi bertindak sebagai perawat. Tujuannya agar dapat kita saling berkongsi suka dan duka dan juga agar kita sama- sama dapat ambil pelajaran atas apa yang berlaku.

Tapi, saya nak awak faham kiri. Ada masanya apa yang kita lakukan tidak perlu diketahui oleh orang lain. Saya bimbang, keikhlasan saya bercampur dengan perasaan ujub yang merosakkan kebaikan yang saya hulurkan. Cukuplah saya yakin, apa yang saya lakukan ada Dzat yang sedang Melihat agar saya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terjatuh ke lembah hina.

Walau suatu hari nanti, orang tidak lagi memandang ke arah saya kerana menganggap diri ini tidak pernah menyumbang apa-apa kepada mereka,saya telah bersedia untuk menerimanya kerana pandangan Pengadili kita di sana nanti lebih penting daripada pandangan mereka. Cukuplah mereka merasa kebaikan yang dihulurkan tanpa mengetahui siapa yang menghulurnya. Lagi pula, semua itu bukan milik saya, tetapi saya hanya bertindak sebagai pengantara, melunaskan amanah yang diberikan.”

.....Dan apa saja yang kamu nafkahkan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya “ [Ali Imran: 92]

Ibnu Abbas pernah berkata: “ Allah menjadikan pahala sedekah tathowu’ ( yang tidak wajib ) yang diberikan secara sembunyi-sembunyi sebanyak 70 kali lipat , dan menjadikan pahala sedekah wajib yang diberikan secara terang-terangan sebanyak 25 kali lipat dibanding yang diberikan secara sembunyi-sembunyi. Begitu juga halnya dengan seluruh ibadat wajib dan yang tidak wajib ."

Sebenarnya, bukan sahaja si kanan yang pernah melakukan sesuatu tanpa pengetahuan si kiri tetapi keadaan yang sebaliknya juga pernah berlaku kerana menyanggap ada suatu perkara mereka perlu lakukan bersama dan ada juga yang perlu dilakukan secara bersendirian. Tetapi entah mengapa, melihat perbuatan si kanan tempoh hari menyebabkan kiri terasa hati sehingga perhubungan mereka sedikit keruh. Namun, setelah mendengar penjelasan daripada kanan, kiri akhirnya mengerti dan meyesal kerana berprasangka yang tidak baik kepada separuh daripada jasadnya itu.

Sabda Rasulullah saw: “ Sesungguhnya Allah tidak menerima amal itu kecuali amal daripada orang yang ikhlas dan yang mengharapkan keredhaan-Nya.” (HR Abu Daud dan Nasa'i)

Allahu'alam..


read more

Saturday, October 3, 2009

:. Bekalan Elektrik Terputus.: 0 kritikan

Saturday, October 3, 2009 |
Bismillah.

Petang semalam, pulang ja dari kuliah rumah terputus bekalan elektrik. Menurut teman serumah yang pulang terlebih dahulu, bekalan elektrik sudah tidak ada sejak jam 11 pagi sewaktu mereka pulang. Ini bukanlah kali pertama tapi kerap juga bekalan elektrik terputus tapi hanya untuk beberapa jam tidak seperti semalam hampir 12 jam. Embak Mufti bagitau, bekalan elektrik terputus ekoran daripada terbakarnya penjana elektrik yang membekalkan tenaga kepada seluruh kawasan di jawa barat termasuklah jakarta dan dikatakan akan berlangsung selama seminggu tapi setiap rumah bergilir-gilir hari.

Di sini, kalau bekalan elektrik terputus juga akan menyebabkan bekalan air terputus. Nasib baik ada rumah rakan lain yang masih bernyala, jadi semalam kami menumpang di rumah anak lapan yan terletak kira-kira 500 meter dari rumah kami kalau terasa ingin buang air. Pagi tadi kami bertujuh p rumah anak empat belas pula untuk menumpang mandi. Agak kelam kabut jugalah memandangkan semuanya ada kuliah pada pagi tadi. Terasa susah la juga bila tiada air berbanding tiada elektrik.

Sekarang ni pula musim nyamuk mengawan. Setiap malam ketika elektrik ada teruk juga masing-masing diserang nyamuk. Dapat bayangkan tak kalau elektrik tak ada nyamuk ni berpesta macamana? Haish tak boleh tidoq dibuatnya dengan panasnya lagi. Kesannya pagi tadi semua bermata batman dan asyik mengangguk ja walaupun dosen (lecturer) tak tanya pun betul ka salah. Sabar neh~

Harap-harap semalam adalah hari terakhir rumah kami tiada elektrik. Minggu depan ada paper lagi. Bahan untuk PBL pun belum cari satu apa pn lagi. Sekarang ni internet pula meragam jadi slow jiddan abis tergendala apa yang telah dirancang. Mungkin berakibat daripada masalah bekalan elektrik yang terputus sejak tiga hari yang lepas.

Kejadian sebegini sebenarnya dapat mendidik hati kita untuk bersyukur atas setiap nikmat yang ALlah swt kurniakan. Kita sering membazir air dan elektrik apabila merasakan kita mampu untuk membayar bil yang melambung setiap bulan tapi tidak kita beringat apabila ianya benar2 tidak ada suatu hari nanti. Jika masih berkongsi pun kita kadang2 merungut apatah jika tiada langsung. Setiap Penciptaan ALlah swt itu tiada yang sia-sia tetapi terselit pengajaran padanya yang membuatkan kita berfikir.

Jazakallah.


read more

Salam Ta'aruf

My photo
Kebahagiaan Itu Adalah Sebuah Ketenangan dan Ketenangan Itu Adalah dengan Mengingati Tuhan..

Masa Itu Emas

Ukhwah Fillah

Followers

Hiburan Mendidik Jiwa

Jejak Kembara

 

Hadis Nabi

Doaku untuk-Mu

Bismillah..

Ya ALlah

Jika aku jatuh cinta
Cintakanlah aku pada seseorang
Yang melabuhkan cintanya pada-Mu
Agar bertambah kekuatanku untuk mencintai-Mu

Ya Muhaimin
Jika aku jatuh hati
Izinkanlah aku menyentuh hati seseorang
Yang hatinya tertaut pada-Mu
Agat tidak terjatuh aku dalam jurang cinta nafsu

Ya Rabbana
Jika aku jatuh hati
Jagalah hatiku padanya
Agar tidak berpaling daripada hati-Mu

Ya Rabbul Izzati
Jika aku rindu
Rindukanlah aku pada seseorang
Yang merindui syahid di jalan-Mu

Ya ALlah
Jika aku menikmati cinta kekasih-Mu
Janganlah kenikmatan itu melebihi kenikmatan
Indahnya bermunajat di sepertiga malam terakhir-Mu

Ya ALlah
Jika aku jatuh hati pada kekasih-Mu
Jangan biarkan aku tertatih dan terjatuh
Dalam perjalanan panjang menyeru manusia kepada-Mu

Ya ALlah
Jika Kau halalkan aku merindui kekasih-Mu
Jangan biarkan aku melampaui batas
Sehingga melupakan aku pada cinta hakiki
Dan rindu abadi hanya kepada-Mu

Aminn..Ya Rabbal 'Alaminn..

Kalam Allah

Copyright © Lakaran Pena Kehidupan | Powered by Blogger | Template by Blog Go Blog